Projek PoP masih belum siap sepenuhnya

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 2024 menegur Kementerian Komunikasi (KKD) atas kelewatan dalam pelaksanaan projek Point of Presence (PoP) yang bertujuan meningkatkan akses jalur lebar di kawasan luar bandar.​​ ​

- Advertisement -

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, ia juga menegaskan bahawa hanya dua atau 1.0 peratus daripada 599 sekolah yang terlibat dalam projek itu telah melanggan rangkaian internet daripada infrastruktur yang telah siap.

“Kementerian memperuntukkan RM3.9 bilion untuk projek PoP fasa dua dalam keadaan projek PoP fasa satu masih belum lagi dimanfaatkan sepenuhnya. Jadi bagaimanakah projek RM3.9 bilion untuk fasa kedua dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya?

“Selain itu, kementerian juga mengumumkan pada 18 Mei lalu untuk menyediakan pakej internet berkelajuan tinggi untuk sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mulai 1 Julai lalu.

“Jadi bagaimanakah perkembangan daripada langganan itu,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, berkata kementeriannya mengakui dan menerima teguran yang dikemukakan dalam LKAN mengenai kelewatan dalam pelaksanaan projek itu.

“Pihak kementerian berusaha untuk memperbaiki dan hampir setiap bulan kami mengendalikan pertemuan dengan semua syarikat-syarikat yang telah diamanahkan untuk menyiapkan projek ini.

“Selain itu, mengenai soalan isu sekolah saya akan jawab secara bertulis nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/11/2024