Pelbagai langkah diambil kekang kes penipuan haji

Tuan Guru Zulkifli Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tabung Haji telah mengambil pelbagai langkah bagi mengekang kes-kes penipuan haji dan usaha berterusan dilakukan juga dengan kerjasama pihak berkaitan seperti Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan (MOTAC) dan Polis Diraja Malaysia.

- Advertisement -

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Tabung Haji juga telah mengambil langkah untuk melantik dan memberi lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) kepada syarikat pelancongan tempatan, melakukan pemantauan terhadap promosi pakej-pakej yang diragui, usaha penguatkuasaan serta inisiatif bagi memupuk kesedaran awam untuk memilih syarikat yang betul dan mematuhi peraturan Kerajaan Arab Saudi.

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Tuan Guru Zulkifli Ismail [PN-Jasin] di Dewan Raykat, semalam.

Zulkifli dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan langkah yang diambil oleh Kerajaan dalam menangani isu penipuan Haji yang kerap berlaku setiap kali musim Haji sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian wang ringgit dan terkandas di tanah suci.

Mohd Naim menambah, untuk Musim Haji 1445H/2024M, Tabung Haji telah melantik dan memberi lesen tahunan kepada 25 buah syarikat pelancongan tempatan yang berwibawa, termasuk anak syarikatnya Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS) untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH).

Katanya, Tabung Haji sentiasa mengingatkan bakal jemaah untuk memilih syarikat PJH yang berlesen untuk membendung penipuan perkhidmatan pakej haji ini.

“Adalah menjadi satu kesalahan sekiranya syarikat pelancongan yang tidak mempunyai lesen PJH menawarkan pakej haji serta mengelola perkhidmatan haji, kerana melanggar Seksyen 27, Akta Tabung Haji 1995,” ujarnya.

Tabung Haji juga, ujarnya sering membuat inisiatif peringatan di dalam media massa serta saluran lain seperti khutbah Jumaat.

Menurutnya lagi, mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada Tabung Haji boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji serta boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kes jenayah penipuan.

Tambahnya, Tabung Haji juga turut memantau iklan-iklan yang menawarkan pakej haji di media massa dan media sosial dan akan mengambil tindakan proaktif untuk memberi amaran kepada pihak-pihak yang membuat iklan tanpa lesen PJH.

MOTAC juga, ujarnya telah memberi amaran untuk membatalkan lesen syarikat pelancongan yang didapati terlibat dengan penipuan penyalahgunaan visa pelancong dan umrah bagi tujuan ibadat haji.

“Di samping itu, Kerajaan Arab Saudi melalui Dewan Ulama tertinggi juga telah mengesahkan hukum bahawa jemaah haji yang datang tanpa proses atau peraturan yang betul, adalah haram dan berdosa,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/11/2024