KUALA TERENGGANU: Forum ‘Keluarga Bahagia Idaman Kita’ anjuran kerajaan negeri bersama jabatan kerajaan mendapat sambutan memberangsangkan dengan kehadiran 300 peserta.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Perpaduan Nasional Negeri, Zuraida Md Noor berkata, program bertujuan memberi tazkirah kepada wanita mengenai cara mengejar kebahagiaan institusi keluarga.
“Tak semua orang melalui jalan yang mudah, ada yang terpaksa melalui jalan yang sukar untuk mencapai keluarga bahagia itu. Ya, kita tahu orang kata keluarga bahagia bermula daripada emak ayah bermula dengan bimbingan keluarga.
“Tapi keadaan liku-liku kehidupan itu menyebabkan mereka gagal untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ibu seorang ayah. Contohnya tekanan ekonomi terpaksa bekerja tinggal anak di rumah. Kemudian anak berkeliaran macam tak terurus dalam masa sama berlakunya gejala sosial.
“Jadi kadang benda inilah peringatan yang sangat penting,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian penutup forum Keluarga Bahagia Idaman Kita, di Pusat Tafaqquh Fi Al-Din, Tok Sheikh Duyong, di sini hari ini.
Turut hadir Mudir Pusat Tafaqquh Fi Al-Din, Ustaz Abdullah Suhaimi dan Pengarah Pertubuhan Wanita Terengganu Darul Iman Sejahtera (WARDAH), To’ Puan Zarani Othman.
Panel jemputan forum menampilkan Pengarah Institusi Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-Mits), Ustaz Kamaruzaman Abdullah dan bekas Senator, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, manakala moderator, Pensyarah, Dr Hamidah Dato’ Harun.
Menurut Zuraida, program seperti itu penting diadakan secara berterusan, bukan hanya di peringkat negeri tetapi juga di kampung dan taman perumahan.
“Ini memastikan mesej pentingnya menjaga keluarga disampaikan secara menyeluruh, termasuk kepada golongan bapa dan suami,” katanya.
Beliau juga menyeru agar usaha dipelbagaikan untuk menyebarkan mesej itu termasuk melalui khutbah Jumaat dan program di surau serta masjid, agar semua pihak mendapat ilmu yang diperlukan dalam mengukuhkan institusi kekeluargaan.
Kata beliau, program tersebut turut disokong oleh kerjasama erat antara kerajaan, NGO dan agensi-agensi yang terlibat, termasuk pameran yang disediakan oleh pelbagai pihak seperti klinik guaman dan pusat sokongan sosial.
“Saya amat berterima kasih atas kerjasama semua pihak yang menjayakan program ini. Gabungan ini amat penting untuk mencapai matlamat kita dalam mempromosikan kesejahteraan keluarga,” katanya.
Zuraida yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berharap agar inisiatif itu dapat diperluaskan pada masa hadapan dengan melibatkan pasangan suami isteri dan anak-anak. – HARAKAHDAILY 7/11/2024