Isu tanah terbiar telah lama berlarutan

Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu tanah terbiar telah lama berlarutan yang melibatkan lebih 103,000 hektar tanah milik persendirian memang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

- Advertisement -

Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkata, isu itu merujuk kepada suatu amalan yang dilakukan oleh Khulafa’ al-Rasyidin melalui Konsep al-Mawas iaitu memberikan tanah kepada pihak lain yang bersedia untuk mengusahakannya.

“Apakah kementerian melihat potensi untuk membangunkan tanah terbiar di dalam rekod Jabatan Pertanian lebih 140 hektar untuk dibangunkan penanaman padi huma dan padi bukit yang sangat berpotensi ketika ini?

“Terdapat beberapa pihak termasuk Lembaga Zakat di Kedah yang membantu para petani di beberapa buah kampung termasuklah Kampung Landai, Kampung Melaka dan Kampung Gulau.

“Selain itu, terdapat para petani yang telah menanam padi huma dengan menjual hasil sehingga RM25 sekilogram dan ini sangat baik untuk penambahan pendapatan mereka.

“Jadi adakah kementerian dapat membantu mereka mengembangkan lagi termasuklah dari segi modal khidmat nasihat, pemberian input dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dalam soalan asal, beliau meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan usaha pemulihan tanah terbiar untuk dimanfaatkan komuniti bagi agro makanan dan langkah bagi menambah pendapatan penduduk termasuk melibatkan petani dan pemulihan tanah terbiar di daerah Sik.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata kementeriannya melalui jabatan dan agensi sentiasa berusaha untuk memajukan sektor agromakanan.

“Ini termasuk kerjasama strategik dengan kerajaan negeri bagi membangunkan tanah terbiar untuk memastikan ia dapat dibangunkan secara optimum,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/11/2024