KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan perlu segera mengambil langkah untuk memastikan semua bas ekspres mematuhi piawaian keselamatan elektrik terkini, berikutan kes terbaharu yang meragut nyawa.
Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) berkata, isu itu berkaitan khususnya dengan kemudahan pengecasan telefon, di mana setiap peralatan elektrik seperti soket pengecas dan pencahayaan perlu mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan, baik pada peringkat antarabangsa mahupun tempatan.
“Seperti IEC 60950 untuk peralatan elektrik. Apakah kementerian boleh bekerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga (ST).
“Dan mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk memastikan peralatan yang dipasang dalam pengangkutan awam diuji ketahanan dan keselamatannya sebelum ia diberi kelulusan untuk digunakan,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pengangkutan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dalam jawapannya memberitahu, APAD telah mengeluarkan larangan sementara terhadap penggunaan soket elektrik di dalam bas ekspres sehingga siasatan insiden yang berlaku selesai.
Menurutnya, semua bas dengan soket tersebut dilarang menggunakannya sementara waktu untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Beliau menerangkan bahawa, Kementerian Pengangkutan juga sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga untuk menilai semula piawaian SOP dan membuat penambahbaikan sebelum soket-soket itu dibenarkan digunakan semula.
Mohd Nazri dalam soalan asalnya meminta Menteri Pengangkutan menyatakan apakah punca sebenar kejadian seorang remaja maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya menggunakan soket di dalam sebuah ekspres di Terminal Bas Penang yang berlaku baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 7/11/2024