Guru KAFA perlu diperkasa pada era AI

Sabri Azit
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) perlu diperkasakan pada zaman kecerdasan buatan (AI) bagi memenuhi keperluan moden.

- Advertisement -

Ustaz Sabri Azit (PN-Jerai) berkata, itu termasuk penyediaan modul pembelajaran digital dan integrasi teknologi dalam pengajaran.

“Dan apakah infrastruktur institusi KAFA dapat dimodenkan selaras dengan peruntukan yang ada,” ujar beliau ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Selain itu, Sabri berkata bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar telah menjawab soalannya semalam dengan memaklumkan mengenai usaha Rintis program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang bertujuan menjaga kebajikan guru melalui kajian kebolehlaksanaan elaun minimum RM1,700.

Mohd Na’im dalam jawapannya berkata, tiga sistem pendidikan moden diperkenalkan untuk program KAFA.

Beliau menjelaskan bahawa, sistem pertama ialah Smart Murabbi, yang memberikan latihan kompetensi pengajaran kepada guru-guru KAFA di bandar dan pedalaman mengikut kesesuaian masa.

Kedua terangnya, platform e-Pembelajaran membolehkan guru mengakses bahan pengajaran dalam talian, manakala ketiga ialah e-Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang menggantikan rancangan manual, menjimatkan masa guru dan meningkatkan kualiti PDPC (Pengajaran dan juga pemudahcaraan).

Sabri dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan apakah langkah yang diambil kerajaan bagi memperkasakan lagi KAFA di seluruh negara agar sentiasa dinamik seiring dengan peredaran zaman ke arah melahirkan generasi pewaris negara yang memiliki modal insan berkualiti tinggi dan berakhlak mulia. – HARAKAHDAILY 7/11/2024