Drama ‘bangga’ juarai video pendek Hari Integriti

- Advertisement -

KOTA BHARU: Video pendek ciptaan seorang guru Muhammad Faiz Yakub, bertajuk Bangga mendapat tempat pertama pertandingan video pendek sempena Hari Integriti anjuran kerajaan Kelantan.

- Advertisement -

Dengan kemenangan itu beliau berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 di samping sijil yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud semalam.

Video terbabit diilhamkan Faiz yang juga guru di Sekolah Menengah Tok Janggut, Pasir Puteh, sebagai menyahut seruan kerajaan bagi membendung gejala rasuah.

Beliau melahirkan perasaan syukur di atas kemenangan itu biarpun tidak menduga muncul johan pada pertandingan tersebut.

Katanya video terbabit melibatkan empat pelakon yang juga pelajarnya, berjaya disiapkan dalam tempoh lima hari.

“Untuk menulis skrip dan shooting drama hanya siap dalam masa sehari, tetapi editing tiga hari,” ujarnya ketika ditemui.

Katanya, beliau mengambil peluang mencipta video pendek bukan semata-mata untuk menang, sebaliknya memberi kesedaran kepada masyarakat supaya tidak terlibat dengan rasuah.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya mereka yang menonton video terbabit akan mendapat mesej yang disampaikan.

“Sebagai contoh ketika ditayangkan kita berharap ada penonton terkesan dan dapat mengambil iktibar daripada mesej yang ingin disampaikan.

“Kebanyakan video yang bertema integriti akan menyentuh tentang kesan kepada mereka yang terlibat rasuah terhadap keluarga serta anak-anak,” ujarnya.

Oleh itu beliau berharap drama berkenaan dapat dimanfaatkan masyarakat kerana kesannya cukup buruk khususnya pelaku rasuah serta keluarga mereka. – HARAKAHDAILY 7/11/2024