Apa kriteria pemilihan spektrum 5G?

Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persoalan tentang kenapa Digital Nasional Berhad (DNB), sebuah syarikat milik kerajaan yang bertanggungjawab dalam pembangunan rangkaian 5G negara, kelihatan ditekan oleh kerajaan sendiri mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat dan ahli Parlimen.

- Advertisement -

Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) meminta penjelasan mengenai kriteria pemilihan spektrum 5G yang tidak didedahkan kepada umum.

Menurut beliau, ketidakjelasan itu menimbulkan spekulasi bahawa terdapat ketidaktelusan dalam proses pemilihan.

“Kenapa proses, kriterianya tidak didedahkan daripada awal lagi sehingga hari ini sebenarnya kita tak tahu apa kriteria pemilihan,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, beliau juga membangkitkan isu divestasi saham oleh U Mobile, yang menyaksikan peningkatan nilai saham syarikat tersebut.

“Yang kedua menteri ada menyebut bahawa U Mobile memberi komitmen untuk divest dia punya shareholding structure supaya lebih banyak pegangan tempatan daripada pegangan asing.

“Adakah menteri sedar bahawa dengan pengumuman yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini maka nilai pemilikan saham dalam U Mobile meningkat berkali ganda dan akibatnya pemilik-pemilik di Singapura yang maha kaya di Singapura akan menjadi lebih kaya berbanding dengan syarikat DNB yang sedang ditekan oleh kerajaan sendiri sekarang lagi.

“DNB adalah syarikat milik rakyat, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) kerajaan tetapi yang maha kaya di Singapura diperkayakan dengan pengumuman ini melalui divestment yang dibuat oleh U Mobile, kenapa ini tindakan yang diambil oleh kerajaan,” ujarnya lagi.

Beliau turut meluahkan kebimbangan mengenai peranan UMobile dalam DNB, memandangkan terdapat wakil U Mobile dalam lembaga pengarah syarikat tersebut.

“Kita tahu bahawa DNB adalah syarikat milik rakyat tetapi apa yang dilakukan oleh kerajaan selama ini adalah membuka DNB kepada pesaing-pesaing dan hari ini ada wakil daripada U Mobile duduk dalam lembaga pengarah DNB.

“Kalau tak silap saya, saya mohon maaf kalau saya silap tapi saya minta yang buat cek dulu, menjadi pengurusi lembaga perolehan ataupun jasa kuasa tender dalam DNB.

“Ini adalah satu cara yang membolehkan UMobile ada maklumat sensitif mengenai DNB, U Mobile akan keluar daripada DNB dan kemudian bersaing dengan DNB.

“Kenapa kerajaan ini cuba membunuh syarikat milik rakyat yang namanya DNB, GLC kita tapi memperkayakan orang-orang tertentu sahaja melalui diproses yang dilakukan,” tambah Wan Saifulruddin.

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang menjawab soalan itu berkata, kriteria pemilihan merangkumi aspek perniagaan, teknikal dan rekod prestasi.

“berkenaan kriteria pemilihan saya sudah sebut tadi secara umum, kita akan meneliti dan menilai rancangan perniagaan, rancangan teknikal untuk perlaksanaan.

“Kita juga nilai rekod prestasi syarikat yang sebelum ini dan juga tahap kepuasan pengguna,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/11/2024

- Advertisement -