Tourism Malaysia ibarat pengurus acara

Datuk Wira Mas Emiryati Samsudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Wira Mas Emiryati Samsudin (PN-Masjid Tanah) membangkitkan kebimbangan mengenai peranan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) yang dilihat lebih berfungsi sebagai pengurus acara berbanding agensi pemasaran seperti yang diharapkan.

- Advertisement -

Menurutnya, Tourism Malaysia kini hanya menganjurkan acara dan memanggil agen untuk mengambil booth, namun tidak berusaha menghubungkan agen-agen ini dengan pasaran yang lebih luas.

Beliau juga menekankan  terdapat peningkatan jumlah agen pelancongan yang cenderung untuk mempromosikan outbound tourism berbanding inbound tourism, sesuatu yang dapat memberi kesan negatif terhadap promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

“Dia buat event, dia panggil agent untuk ambil booth, lepas tu dia buat tak tahu dan langsung tidak ada menghubungkan agent ini dengan marketplace.

“Dan sejak akhir ni juga kita tengok ramai agent yang cenderung untuk mempromosikan outbound tourism dan bukan lagi inbound tourism,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Sehubungan itu, beliau bertanya mengenai langkah-langkah yang akan diambil oleh Pejabat Tourism Malaysia, terutamanya pejabat luar negara, untuk membantu agen pelancongan mempromosikan Malaysia di pasaran-pasaran tertentu menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, dakwaan tersebut tidak tepat dan menegaskan bahawa Tourism Malaysia tidak berfungsi semata-mata sebagai pengurus acara.

“Kita perlu lihat dalam keadaan semasa, tidak benar TM berfungsi sebagai pengurus acara, dan saya setuju banyak pemain industri pelancongan mempromosi secara outbound,” katanya.

Pada soalan asal, Mas Emiryati meminta Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya menyatakan perincian terhadap persediaan terkini termasuklah promosi pihak Kementerian dan agensi terbabit terhadap Tahun Melawat Malaysia 2026. – HARAKAHDAILY 6/11/2024