KUALA LUMPUR: Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) meminta kerajaan untuk memperincikan perancangan dalam memperluaskan insentif serta pelaburan kepada syarikat pemula tempatan, terutamanya dalam sektor teknologi berimpak tinggi seperti high-definition and high-value (HDHV), tenaga boleh diperbaharui (ENE) dan teknologi angkasa.
Beliau menanyakan tentang strategi kerajaan untuk menggalakkan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) bekerjasama dalam menyokong syarikat pemula agar mampu berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa menjelang 2030.
Beliau menekankan kepentingan inisiatif ini bagi membantu Malaysia mencapai sasaran menjadi antara 20 ekosistem syarikat pemula terbaik dunia.
“Apakah perancangan kerajaan terhadap peluasan insentif dana korporat untuk menggalakkan syarikat pemula menceburi bidang bernilai tinggi? Saya ingin tahu langkah-langkah khusus yang bakal diambil bagi menggalakkan pembiayaan modal kepada syarikat-syarikat ini supaya dapat membangunkan bidang HDHV,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab pertanyaan tersebut, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan telah menetapkan sasaran pelaburan sebanyak RM120 bilion melalui program gearup, yang melibatkan penyertaan aktif daripada GLC dan GLIC dalam tempoh lima tahun akan datang. – HARAKAHDAILY 6/11/2024