KOTA BHARU: Pangkalan haram yang dibina di sepanjang Sungai Golok adalah milik persendirian penduduk dan bukannya rizab sungai.
Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kewujudan pangkalan haram tersebut menyebabkan ada pihak mengambil jalan mudah menyeberangi Sungai Golok untuk ke negara jiran.
Bagaimanapun katanya pihak keselamatan sentiasa mengadakan kawalan di sepanjang sempadan, namun masih ada pihak pihak menggunakan pangkalan haram.
“Dalam hal ini kita tidak boleh sekat rakyat menyeberang sungai untuk ke negara jiran, cuma kita nasihat mereka menggunakan laluan yang sah.
“Jika rakyat menggunakan laluan sah iaitu melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) ia tidak menjadi masalah,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Kongres Antarabangsa Rafflesia Kelantan 2024 di sini petang semalam.
Menurutnya juga sebelum ini ada cadangan pasukan keselamatan supaya kerajaan membina tembok di sempadan Malaysia-Thailand di sepanjang Sungai Golok hampir 100 kilometer.
Kata beliau dengan adanya tembok nanti diharap mampu mengekang jenayah penyeludupan barangan terlarang termasuk yaba atau pil kuda selain berperanan sebagai tebatan banjir.
“Oleh itu kerajaan negeri mencadangkan supaya kerajaan persekutuan membina tembok di sempadan memandangkan ia berfungsi untuk dua tujuan.
“Kita sedar anggota keselamatan sentiasa menjaga sempadan daripada aktiviti rentas sempadan, namun disebabkan wujud pangkalan haram ia agak sukar untuk dikekang,” katanya.
Beliau turut menafikan disebab di Kelantan tiada hiburan menyebabkan penduduk tempatan keluar mencari hiburan di tempat lain. – HARAKAHDAILY 6/11/2024