KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia di bawah teraju Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim masih tidak mesti konsisten dalam memperjuangkan Palestin apabila dilihat seperti berubah-ubah pendirian dalam perkara tersebut.
Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, sikap Malaysia itu sehinggakan dianggap tangan kanan memberi susu kepada anak-anak di Gaza, tetapi tangan kiri memberi pisau kepada musuh rakyat Palestin, iaitu Israel.
“Tidak boleh diterima sama sekali apabila kerajaan buat keputusan untuk dengan secara sukarela, tidak ada paksaan menjual saham MAHB (Malaysia Airports Holdings Berhad) kepada GIP (Global Infrastructure Partner)-BlackRock,” ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Negeri Kedah berucap demikian Ceramah Perdana 1 Tahun Taufan Al-Aqsa Dewan Dato’ Haji Fadzil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini semalam.
Menurut beliau, BlackRock sendiri telah mengumumkan dalam laporan bahawa pihaknya telah menguasai GIP di mana GIP pula membeli saham MAHB dan ketika sama BlackRock telah menguasai juga sebuah syarikat penjualan senjata.
“Satu company (syarikat) yang real business (perniagaan utama) dia jual senjata kepada Israel. Jual macam-macam termasuklah janji kepada tentera jahanam Israel iaitu syarikat Lockheed Martin.
“Saya menyatakan kerajaan sememangnya tidakpun konsisten ataupun bersungguh untuk mempertahankan negeri Palestin,” ujarnya menyatakan bahawa perkara tersebut mengecewakan banyak pihak.
Ustaz Tarmizi turut berkongsi makluman diterima beliau dari pertemuan bersama pimpinan Palestin mengisahkan Yahya Sinwar yang menulis surat beberapa minggu sebelum pemimpin HAMAS itu syahid.
“Kita harus menyedari sesungguhnya peperangan ini mungkin akan berlangsung lebih lama dari yang diharapkan banyak orang. Tapi semakin lama, semakin dekat kita dengan kemerdekaan. Insya-Allah dan semakin dekat dengan runtuhnya entiti penjajah dari tanah air kita.
“Jadi persiapkanlah diri anda untuk perang yang panjang melawan penjajahan ini yang dengannya kita akan merdeka dan akan membuka pintu Baitulmaqdis insya-Allah,” ujarnya memetik kandungan surat Yahya Sinwar.
Tambahnya, penduduk di Gaza walaupun dalam keadaan mereka seperti telah dilupakan umat Islam yang leka alpa, termasuk dilupakan oleh negara-negara umat Islam kerana lebih lunak dengan Amerika dan Israel, tetapi sedikitpun tidak merasai keperitan itu untuk meruntuhkan perjuangan.
Beliau berkongsi kisah hiba ketika ke Palestin bersama bekas pimpinan PAS Negeri Perak, Almarhum Ustaz Norazli Musa suatu ketika dahulu bertemu seorang anak muda yang bertindak selaku murabitun di sempadan Palestin-Israel.
Pemuda yang tidak menyambut huluran tangan mereka untuk bersalaman itu rupanya buta, hinggakan membuat rombongan bertanya sebab beliau masih tetap menjaga perbatasan itu walaupun tidak lagi dapat melihat.
Jelas Ustaz Tarmizi, pemuda itu menjawab bahawa dua biji matanya telah ke Syurga, jadi dia enggan melepaskan peluang berjaga di situ untuk membiarkan jasadnya yang lain pula untuk dihantar ke Syurga Allah SWT. – HARAKAHDAILY 6/11/2024
‘Tangan kanan beri susu, tangan kiri beri pisau’
Malaysia disifatkan tidak konsisten perjuang isu Palestin
- Advertisement -