KUALA LUMPUR: “Adakah Perdana Menteri sedang memperkukuhkan Umno untuk melemahkan parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS)?”
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan berkata, pada 4 November 2024 lalu Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin menyatakan dalam sidang Dewan Rakyat bahawa di kawasan beliau hanya projek yang ditandatangani oleh Ketua Bahagian Umno yang akan diluluskan.
“Perkara tersebut merupakan satu dakwaan yang serius dalam dewan yang mulia ini,” katanya menurut satu kenyataan yang dimuatnaik dalam akaun media sosial Facebooknya.
Menurut beliau, perkara tersebut juga boleh menimbulkan satu lagi tanda tanya mengenai komitmen Perdana Menteri terhadap agenda reformasi.
“Jika benar kontrak kerajaan diluluskan berdasarkan tandatangan atau sokongan Umno, maka ini satu lagi tanda tanya mengenai komitmen Perdana Menteri sendiri terhadap agenda reformasi.
“Jika benar apa yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Ranau tersebut, maka timbul juga tanda tanya kenapa di Sabah Perdana Menteri memberi keutamaan kepada tandatangan Umno sedangkan parti yang memimpin ialah GRS.
“Adakah terdapat usaha dilakukan bagi melemahkan parti GRS itu sendiri?” ujarnya.
Sehubungan itu, Wan Saiful menyatakan pendedahan sebegini merupakan sesuatu yang serius dan perlu diberikan perhatian.
“Apa jua, ini satu pendedahan yang serius yang mesti diberi perhatian oleh pihak berkuasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/11/2024