Palestin kini seolah-olah sedang memimpin dunia!

Muaz Omar - Ketua Hal Ehwal Politik, Palestine Culture Organisation Malaysia berucap ketika Ceramah Perdana 1 tahun Taufan Al-Aqsa di KUIZM (Foto: HARAKAHDAILY/ZHARIF ZULKIFLEE)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat Palestin yang menempuh kekejaman Zionis-Israel. pernah merasai diabaikan oleh dunia baik daripada kuasa besar Amerika, Eropah mahupun negara-negara Arab.

Namun, mereka tetap berpegang dan meyakini janji Allah SWT akan memberi kemenangan kepada umat yang berada di Baitulmaqdis dan sekitarnya sebagaimana hadis Rasulullah SAW.

Ketua Hal Ehwal Politik Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muaz Omar berkongsi perkara tersebut dalam, Ceramah Perdana 1 Tahun Taufan Al-Aqsa di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, di sini semalam.

“Inilah hari ini yang sedang ditunjukkan penduduk Gaza, termasuk anak-anak kecil bahawa mereka tetap teguh sabar dan terus menentang musuh, bahkan bersyukur diberi ujian dan peluang itu.

“Mereka menghalau dan terus menentang sebarang usaha penjajahan serta ketika sama terus tunduk sujud dan juga mendapat syahid. Bila mereka lihat ayah, ibu, anak-anak mereka syahid, mereka memegang jenazah sambil ucapkan ‘alhamdulillah’.

“Inilah iman dan akidah mereka, malah mereka sedar bahawa mereka bukan hanya berperang dengan Israel, tetapi juga Amerika dan Eropah dan lain-lain,” ujar beliau menggambarkan kekuatan rohani umat Palestin.

Menurut beliau, semangat perjuangan itu bukan sahaja dalam kalangan rakyat biasa, tetapilebih ketara dalam kalangan tentera-tentera yang apabila dimaklum mengenai operasi, tidak ada seorang pun berundur.

Sebaliknya cerita beliau, dalam kalangan tentera meyakini bahawa inilah masanya untuk mereka membebaskan Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin daripada penjajahan rejim Zionis-Israel.

Bahkan kata Muaz, sejak operasi yang dikenali sebagai Taufan Al-Aqsa itu semangat dan perjuangan tersebut kini sedang disokong oleh seluruh dunia, seolah-olah Palestin sedang memimpin dunia.

Pujinya, umat Palestin telah membuktikan kepada dunia, bahawa mereka tidak meninggalkan tanah air mereka, malah para pemimpin Palestin pula bersama ke medan berperang bersama tentera dan rakyat.

Beliau menyebut beberapa nama pemimpin Palestin seperti Syeikh Ahmad Yassin, Syeikh Ismail Haniyeh dan Yahya Sinwar yang menggerakkan perjuangan dan operasi hingga mereka begitu dibenci lawan.

Muaz turut bercerita bagaimana bedah siasat ke atas jenazah Yahya Sinwar mendapati pemimpin HAMAS itu dalam keadaan tidak makan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum beliau syahid.

“Yahya menjadi salah seorang arkitek yang menjalankan operasi, bahkan setelah dijalankan bedah siasat pada beliau didapati tidak makan selama tiga hari sebelum dia syahid bertemu Allah SWT dan bersama berperang di medan berada dengan askar-askar.

“Maka lelaki inilah yang telah menunaikan janjinya terhadap Masjidil Aqsa. Lelaki inilah yang bercita-cita untuk membebaskan bumi Al-Aqsa. Lelaki inilah yang bercita-cita untuk melihat umat Islam kembali menguasai bumi Al-Quds.

“Maka lelaki seperti inilah wajib ke atas kita untuk memuliakannya. Mesti kita melihat sebagai satu contoh dan teladan buat seluruh umat Islam. Sesungguhnya mereka berjuang untuk membebaskan Palestin sehingga mereka mengorbankan segala-galanya.

“Kita masih tinggal di sini jangan hanya mengharapkan jasa-jasa dan pengorbanan mereka, tetapi wajib seluruh anak-anak umat Islam untuk menyambut dan mengambil sisa-sisa yang bagi perjuangan telah ditinggalkan oleh pemimpin-pemimpin ini,” serunya. – HARAKAHDAILY 6/11/2024

- Advertisement -