Nakhaie Ahmad dinasihat berehat dunia politik

Mohamad Kamal Mohamed
- Advertisement -

KOTA BHARU: Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Datuk Mohd Nakhaie Ahmad dianggap tidak layak memberi pandangan terhadap kepimpinan PAS selepas meninggalkan parti itu 35 tahun lalu.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed berkata, sudah 35 tahun pemimpin terbabit meninggalkan PAS dan sekarang hanyut dengan fikrah baharunya.

Katanya, sebagai anak muda yang membesar dengan sentuhan kepimpinan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, saranan Nakhaie dianggap mengarut.

“Nakhaie menyebut soal taat membabi buta ahli PAS terhadap Tuan Guru Presiden. Barangkali beliau terkhilaf tentang taksub yang menolak kebenaran dengan taat dalam menjunjung kebenaran.

“Anak muda lebih menyayangi Tuan Guru Abdul Hadi dan masih perlukan santunan kepimpinannya,” katanya di sini.

Baru-baru ini Nakhaie pada perkongsian di Facebooknya mencadangkan Tuan Guru Abdul Hadi berehat daripada karier politiknya.

Mohamad Kamal berkata, tidak pelik langsung ulasan seperti itu yang datang daripada orang yang menyimpan kesumat dendam terhadap PAS sejak sekian lama.

Menurutnya juga Presiden PAS tidak menyebut soal mimpi berjumpa Rasulullah s.a.w sebagai hujah untuk orang lain, sebaliknya berkongsi berita gembira melalui jawapan istikharahnya.

“Mimpi tetap mimpi dan tidak boleh dijadikan sandaran hujah tetapi mempersendakan mimpi berjumpa nabi adalah suatu kejahilan agama.

“Bagi anak muda yang mendengar kuliah Tuan Guru dari awal sampai akhir akan memahami konteks yang dibawanya iaitu suatu prinsip taqrib sunni-syiah demi penyatuan umat Islam seluruh dunia.

“Tuan Guru tidak mengajak kepada perbalahan tetapi harmoni memimpin penyatuan,” ujarnya.

Oleh itu kata beliau Nakhaie boleh berehat daripada dunia politik berhenti memberi pandangan terhadap pihak lain. – HARAKAHDAILY 6/11/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -