MANCHESTER: Tinjauan pendapat yang dilakukan oleh Manchester United mendapati peminat kelab bola sepak berkenaan memilih untuk membina stadium baharu berbanding membangunkan semula stadium kelab itu iaitu Old Trafford.
Manchester United kini sedang berunding dengan penyokong mereka mengenai projek yang mungkin menelan kos £2 bilion (RM11 bilion) itu, di mana peminat ditanya sama ada mereka lebih suka melihat stadium baharu dibina di tapak Old Trafford atau stadium sedia ada dibangunkan, lapor ESPN.
Kelab itu mengatakan bahawa mereka telah menerima lebih daripada 50,000 maklum balas, di mana 52 peratus menyokong pembinaan stadium baharu, 31 peratus memilih untuk membangunkan semula Old Trafford, sementara 17 peratus mengatakan bahawa mereka belum membuat keputusan.
Pasukan petugas yang ditubuhkan oleh pemilik bersama kelab itu, Sir Jim Ratcliffe, termasuk Gary Neville dan Datuk Bandar Manchester Andy Burnham dilaporkan bersedia untuk mengumumkan keputusan akhir mereka mengenai isu berkenaan menjelang akhir tahun ini.
Ratcliffe dikatakan lebih gemar untuk pembinaan stadium baharu, tetapi sumber yang rapat dengan kelab itu telah memberitahu ESPN bahawa keputusan muktamad masih belum lagi dibuat.
Pengarah Penglibatan Peminat kelab itu, Rick McGagh berkata, pihaknya menyedari betapa pentingnya stadium Old Trafford kepada para peminat dan perlu mendengar serta mendapatkan semua pandangan mereka sebelum membangunkan stadium bertaraf dunia yang mereka layak.
“Kami dapat melihat keputusan melalui lensa yang berbeza untuk memahami sama ada pemegang tiket musim kami berasa berbeza daripada apa yang dikatakan oleh pasukan petugas.
“Dan jika peminat yang lebih muda mempunyai pandangan yang berbeza dengan peminat yang lebih tua.
“Pendapat ini sangat membantu dan membolehkan pasukan petugas memahami perbezaan serta persamaan dalam pangkalan peminat kami,” katanya. -Agensi/– HARAKAHDAILY 6/11/2024