Lebih 30 ancaman bom palsu sasar lokasi pilihan raya presiden AS 

Pihak media berkumpul untuk mengikuti keputusan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat yang dianjurkan parti Demokrat di Universiti Howard, Washington, Amerika Syarikat. (FOTO: AFP)
- Advertisement -

WASHINGTON: Hampir 30 ancaman bom palsu diterima yang menyasarkan lokasi berkaitan pilihan raya di seluruh Amerika Syarikat (AS).

CBS News melaporkan berita berkenaan dengan memetik dua sumber yang mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu.

- Advertisement -

Menurut laporan itu, kira-kira 17 ancaman bom palsu disasarkan terhadap negeri Georgia.

Pegawai kerajaan AS kini berusaha mengesan punca ancaman palsu terbabit yang dipercayai sebahagian daripada usaha asing untuk mengganggu proses pilihan raya.

Menurut sumber, ancaman palsu itu dikesan di Georgia, Arizona, Michigan dan Wisconsin.

Berita itu muncul beberapa jam selepas Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mengumumkan mereka ‘sedar’ akan ancaman bom yang disasarkan terhadap lokasi pengundian di beberapa negeri.

“Setakat ini, tiada satu pun daripada ancaman itu dianggap sebagai sahih,” ujar kenyataan itu.

Sebelum ini, Setiausaha Negara Georgia, Brad Raffensperger berkata, ancaman bom palsu dibuat terhadap dua lokasi pengundian di County Fulton.

Menurut laporan media, ancaman yang menyasarkan lima pusat pengundian itu menyebabkan dua lokasi pengundian terpaksa dikosongkan buat sementara waktu pada awal Selasa.

Jutaan rakyat Amerika keluar mengundi, semalam waktu tempatan, untuk memilih Presiden ke-47 AS di mana bekas Presiden, Donald Trump, menentang pencabarnya daripada Demokrat yang juga Naib Presiden, Kamala Harris. – Agensi/– HARAKAHDAILY 6/11/2024