KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa agar menaikkan harga lantai padi bagi mengatasi isu kenaikan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat pada masa kini terutama kepada golongan petani.
Dato’ Seri Dr. Shahidan Kasim (PN- Arau) berkata, ia penting kerana golongan petani tidak mendapat faedah daripada kenaikan gaji minimum yang dinikmati mereka yang bekerja makan gaji.
“Mereka hanya bergantung kepada harga yang akan ditetapkan oleh kerajaan iaitu harga lantai padi yang sekarang ini RM1300. Kerajaan sewajar naikkan kepada RM1,500 ke RM1800.
“Itu boleh menyelesaikan peringkat bawahan. Yang lain itu sudah ada cara pendapatan mereka untuk menyelesaikan masalah,” katanya.
Kata beliau, dengan cara itu ia boleh menyelesaikan isu kos sara hidup di peringkat bawahan terutama golongan petani yang bukan bergaji tetap.
Shahidan berkata demikian sewaktu mengajukan soalan tambahan kepada soalan asalnya pada sesi ‘Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan’ di Dewan Rakyat hari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Fuziah Salleh dalam jawapannya berkata, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (My-CC) sudah pun menyiapkan laporan kajian mereka berkenaan dengan kartel padi dan beras.
“Tetapi saya tak boleh dedahkan di sini lagi sehingga laporan rasmi didedahkan, tetapi sudah pun diselesaikan berkenaan dengan kartel padi dan beras.
“Kemungkinan penyalahgunaan kedudukan dominan mana-mana syarikat yang mengawal berkenaan bekalan benih (padi), import dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/11/2024