Kepimpinan TG Abdul Hadi masih ditagih memandu perjuangan PAS

Tuan Guru Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) akan terus mempertahan kepimpinan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meskipun terus mengharungi gelodak politik yang tidak menentu.

- Advertisement -

Ketuanya, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, DUPP yakin keilmuan yang dimiliki oleh beliau sangat berharga bagi memastikan perjuangan Islam terus subur di bumi Malaysia.

“Apatah lagi Tuan Guru Abdul Hadi Awang bukan sahaja memimpin gerakan Islam di Malaysia, bahkan juga menjadi rujukan gerakan-gerakan Islam daripada seluruh dunia,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Pesuruhjaya PAS Kedah itu, DUPP juga mengulangi pendirian untuk mempertahankan gagasan penyatuan ummah yang diperjuangkan oleh Tuan Guru Presiden.

Jelasnya, ia adalah ramuan utama dalam memandu perjuangan Islam serta bagi memastikan kestabilan politik dalam dan luar negara dapat dicapai.

“Sesungguhnya tidak ada istilah pencen dalam perjuangan. Bahkan keringat mereka yang berada dalam perjuangan ini ditagih selagi hayat dikandung badan. Ia tidak ada noktah akhir melainkan suatu ketentuan daripada Allah SWT.

“Begitulah lumrah perjuangan. As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin terus berjuang memimpin anak muda Palestin menentang kezaliman Zionis walaupun sekadar berkerusi roda. Perjuangan ini terus berputar. Generasi perjuangan ini akan terus bersilih ganti sehingga Hari Kiamat,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/11/2024