Keberkesanan program DLP berdasar prestasi calon

Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan Program Dual Language Programme (DLP) bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang memberi pilihan kepada sekolah untuk menggunakan bahasa Inggeris (BI) dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) mata pelajaran Sains dan Matematik bermula tahun 2016.

- Advertisement -

Menteri Pendidikan berkata, keberkesanan program DLP adalah berdasarkan prestasi calon yang mengikuti kelas yang melaksanakan DLP bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mata pelajaran Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI), Matematik dan Sains bagi tahun 2021 hingga 2023.

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary [PN-Pengkalan Chepa] di Dewan Rakyat, semalam.

Ahmad Marzuk dalam soalannya meminta Menteri Pendidikan menyatakan keberkesanan Program Dwibahasa (DLP) dan apakah respon serta tindakan susulan berkaitan bantahan pelaksanan DLP di beberapa sekolah.

Menurut Menteri itu lagi, pencapaian calon yang mengikuti kelas yang melaksanakan DLP dalam peperiksaan SPM menunjukkan peratus lulus yang cemerlang bagi mata pelajaran BM iaitu sebanyak 97.1 peratus lulus pada tahun 2021, 97.8 peratus lulus pada tahun 2022 dan 97.9 peratus pada tahun 2023.

Jelasnya, prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris menunjukkan peningkatan iaitu 96.8 peratus lulus keseluruhan pada tahun 2021, 97.0 peratus pada tahun 2022 dan 2023.

Untuk mata pelajaran Sains, ujarnya peratus lulus keseluruhan calon adalah sebanyak 91.6 peratus untuk tahun 2021, 92.8 peratus pada 2022 dan 92.3 peratus untuk tahun 2023 sementara Matematik pula, sebanyak 91.4 peratus calon lulus pada tahun 2021, 90.5 peratus untuk 2022 dan 92.3 peratus pada tahun 2023.

Tambahnya, KPM sentiasa mengambil langkah yang proaktif dalam menyelesaikan sebarang masalah dalam pelaksanaan program DLP.

Ujarnya, pelaksanaan program DLP adalah berdasarkan garis panduan terkini seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 5 Tahun 2024: Garis Panduan Pelaksanaan Dual Language Programme Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2024 bertarikh 19 Mac 2024.

Katanya, Pelaksanaan Program DLP juga adalah selaras dengan perundangan sedia ada dan dasar pendidikan kebangsaan iaitu Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996. – HARAKAHDAILY 6/11/2024