KUALA LUMPUR: Perhatian perlu diberikan oleh kerajaan kepada Kampung Orang Asli di Sungai Leleh dan Mengkuang berikutan berlakunya pertambahan peruntukan dalam bajet untuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) menyuarakan masalah kemudahan di Kampung Sungai Leleh yang lebih 30 tahun terbiar, termasuk longkang tiada dan jalan daif yang menyebabkan rumah mudah dimasuki air setiap kali hujan.
Menurutnya, penduduk di situ juga berharap rumah mereka diperbaiki kerana dihuni dua hingga tiga keluarga.
“Begitu juga Kampung Mengkuang dan juga Kampung Sungai Leleh. Jadi saya mengharapkan perhatian kemudahan air, kemudahan elektrik, jalan, longkang untuk kemudahan.
“Sebab saya melihat berlaku pertambahan dalam bajet untuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA),” katanya ketika mencelah pada sesi penggulungan Timbalan Perdana Menteri & Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Zahid dalam jawapannya berkata, JAKOA telah menerima peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta, termasuk untuk kawasan Temerloh.
Beliau mengharapkan kerjasama Salamiah dalam menyantuni komuniti Orang Asli di kampung berkenaan. – HARAKAHDAILY 6/11/2024