KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mencadangkan supaya kenaikan pangkat diberikan kepada pakar bidang khusus (SME) tanpa perlu dipindahkan ke jabatan lain.
Menurutnya, cadangan kedua adalah supaya kenaikan pangkat kepada SME boleh dilakukan tanpa memerlukan kekosongan jawatan.
Beliau menjelaskan bahawa dua langkah itu sangat penting untuk menghargai mereka yang dianggap pakar.
“Pada waktu yang sama, kalau boleh dirujuk cadangan saya selain daripada dua itu, tapi ini mungkin boleh dibawa kepada JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) yakni supaya kita identify dan kita pupuk bakal-bakal SME itu daripada awal.
“Daripada dia masuk gred 41, masa itu mungkin tak boleh kenal lagi. Tapi bila dia sampai middle management level, mungkin gred 44, 48, masa itu jangan kita tukar dia ke merata tempat tapi biar dia berada dalam sesuatu kluster supaya bila dia sampai Jusa B, Jusa A, dia dah memang seorang SME,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah pada sesi penggulungan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran V.Murugeson di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Kulasegaran dalam jawapannya berkata, ringkasnya, penambahbaikan SME memberi tumpuan pada tujuh bidang utama negara.
Menurutnya, menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), pegawai SME boleh mendapat kenaikan pangkat khas tanpa menunggu kekosongan jawatan atau berpindah ke agensi lain dan kenaikan itu boleh mencapai hingga gred Jusa C. – HARAKAHDAILY 6/11/2024