KUALA LUMPUR: Sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang lazimnya berlaku pada hujung sehingga awal tahun, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melalui Pasukan Penyelamat Di Air atau dikenali sebagai PPDA ditugaskan untuk melaksanakan kerja-kerja penyelamatan di air seperti operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas.
JBPM dalam kenyataannya berkata, pasukan ini juga digerakkan dalam operasi penyelamatan dan pemindahan mangsa-mangsa yang terkesan dengan bencana banjir terutamanya ketika musim tengkujuh yang kebiasaannya berlaku sewaktu fasa MTL.
“Bot Aluminium digunakan semasa operasi mencari dan menyelamat mangsa sama ada di laut, sungai atau pun tasik terutamanya sewaktu berlakunya bencana banjir.
“Amphibious Rescue Inflatable Boat atau dikenali sebagai Bot ARIB mempunyai keistimewaannya yang tersendiri kerana boleh digunakan di air dan di darat khususnya dalam melaksanakan tugas mencari dan menyelamat semasa berlaku bencana banjir,” kata JBPM itu melalui kenyataan di media sosial Facebook pada Rabu.
Selain itu, tambah kenyataan itu terdapat juga Rapit Intervention Boat Kevlar atau dipanggil sebagai Bot Kevlar yang berkelajuan 72 kilomerter sejam (km/j), digunakan dalam operasi menyelamat di air, operasi banjir, mangsa lemas dan operasi kemanusiaan.
“Terdapat juga beberapa jenis bot milik JBPM yang turut digunakan ketika operasi penyelamatan di air seperti Bot Fiberglass, Bot Dolphine, Bot Rubber Dinghy, Fire Rescue Boat (FRB) dan Jet Ski,” kata kenyataan itu lagi.
Terdahulu, Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan MTL atau musim tengkujuh akan bermula pada 5 November 2024 dan berterusan sehingga Mac 2025; dengan jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat berlaku sepanjang tempoh itu. – HARAKAHDAILY 6/11/2024