400 hektar di Lojing digazet pemuliharaan rafflesia

Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengazet kawasan seluas 400 hektar di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang sejak 13 tahun lalu bagi pemuliharaan bunga rafflesia.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, usaha itu sebagai pemangkin kepada industri ekopelancongan yang semakin berkembang sekarang.

Katanya, terdapat tiga spesies rafflesia ditemui di kawasan tersebut iaitu kerri, cantleyi dan sumeiae.

“Paling membanggakan apabila terdapat rafflesia kedua terbesar di dunia.

“Pada tahun 2022 kerajaan negeri melancar Taman Pemuliharaan Rafflesia, yang kini menjadi tumpuan aktiviti penyelidikan alam sekitar dan pelancongan,” katanya pada perasmian Kongres Antarabangsa Raflesia Kelantan 2024 di sini petang semalam.

Dr Mohamed Fadzli juga berkata, spesies rafflesia sekiranya tidak dipulihara dibimbangi berisiko akan pupus.

Kata beliau juga Kelantan bukan sahaja melindungi atau menjaga bunga rafflesia dan mengekalkan keseimbangan keseluruhan ekosistem di sekitarnya.

Tambah beliau kerjasama antara penyelidik, kerajaan tempatan, komuniti, dan pelancong bagi memastikan rafflesia terus bertahan untuk generasi akan datang.

Beliau berkata, ia seiring dengan perkembangan sektor pelancongan di Kelantan.

“Semua pihak perlu melakukannya dengan penuh berhati-hati dan bertanggungjawab bagi memastikan ia tidak merosakkan apa yang ingin dilindungi.

“Hal ini membawa kita kepada tema kongres kali ini, ‘Harmoni dengan Rafflesia: Menyeimbangkan Pemuliharaan dan Pelancongan di Kelantan’.

“Seperti kata pepatah, ‘dapat dua burung dengan satu batu’, kita dapat mencapai keseimbangan antara memelihara spesies yang berharga dan mempromosikan pelancongan untuk pembangunan ekonomi,” katanya.

Menurutnya juga kerjasama antara penyelidik, kerajaan tempatan, komuniti, dan pelancong penting untuk memastikan rafflesia terus berkembang untuk generasi akan datang.

“Kongres ini menjadi platform perbincangan yang bermanfaat dan perkongsian idea inovatif kerana menghimpunkan pakar-pakar dari seluruh dunia,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/11/2024

- Advertisement -