LANGKAWI: Pelbagai inisiatif dan strategi dicadang dan diatur bagi menambah daya tarikan pelancongan, termasuk meningkatkan kemudahan dan kecemerlangan perkhidmatan menjelang Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin dalam pertemuan dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Tiong King Sing antara lain membincangkan perkara tersebut, di sini semalam.
Antara lain, perbincangan itu juga memberi fokus berkenaan segala usaha menambah baik produk-produk pelancongan sedia ada serta pelbagai langkah perlu bagi mengenengahkan produk-produk baharu yang berdaya maju.
Dato’ Mohd Salleh berkata, pemain industri pelancongan dari pelbagai segmen memberi maklum balas terbaik, malah menunjukkan komitmen untuk sama-sama membantu menjayakan TMK 2025 yang hanya berbaki tidak sampai dua bulan lagi dari sekarang.
“Komitmen dan kerjasama dari Menteri Pelancongan juga baik, malah selain berperanan menjayakan TMK2025, beliau juga membincangkan peranan Kedah menjayakan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 akan datang,” jelasnya.
Sementara itu ADUN Kubang Rotan itu tidak ketinggalan untuk bersama pada sesi libat urus bersama pemain industri pelancongan melibatkan para pengusaha, Persatuan Pelancongan dan Pemandu Pelancong.
Juga melibatkan Persatuan Hotel, Homestay, Persatuan Produk Pelancongan, Persatuan Peniaga dan Restoran serta lain-lain yang diadakan pada dua sesi iaitu pagi dan petang.
“Jadual yang padat dan usaha yang tiada henti, dianggap berbaloi dengan kerjasama dari semua pihak,” kata beliau.
Dalam pada itu penekanan serta tumpuan yang agak serius terhadap Langkawi menjelang TMK2025 ini, berikutan Pulau Lagenda itu merupakan ‘Gateway’ atau pintu masuk khususnya kepada pelancong luar negara sempena sambutan berkenaan. – HARAHDAILY 5/11/2024