Solidariti Palestin: 5 Pimpinan PAS kunjungi Kedutaan Ireland

Tuan Ibrahim (dua dari kanan) di samping Orla Tunney (tiga dari kanan), serta (dari kanan), Idris, Mumtaz, Muhammad Khalil, dan Ahmad Tarmizi di Kedutaan Ireland, Kuala Lumpur pada hari ini, 5 November 2024. (FOTO: HARAKHADAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ireland yang merupakan antara negara yang memperjuangkan nasib rakyat Palestin secara berterusan dan terbuka, telah membuatkan pimpinan PAS berasa terpanggil untuk hadir di Kedutaan Ireland sebagai tanda sokongan terhadap solidariti kerajaan tersebut.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun Ireland mempunyai kedutaannya di Israel tetapi negara itu langsung tidak berkompromi dengan kezaliman yang dilakukan oleh negara haram tersebut, khususnya ke atas Semenanjung Gaza.

- Advertisement -

“Maka, kehadiran kami pada hari ini di Kedutaan Ireland, Kuala Lumpur adalah sebagai tanda sokongan dengan prinsip negara Ireland itu sendiri,” katanya ketika ditemui di Kedutaan Ireland bersama-sama Duta Ireland di Malaysia, Orla Tunney, di sini, hari ini.

Turu hadir ialah Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi; Ahli Parlimen Tumpat merangkap Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa Dewan Muslimat PAS, Dato’ Mumtaz Md Nawi; dan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Menurut beliau, nasib rakyat Palestin merupakan sesuatu yang perlu dibela memandangkan mereka sering menjadi mangsa kezaliman negara haram Israel.

Tambah beliau, kezaliman negara haram tersebut sudah merebak ke negara Timur Tengah yang lain seperti Lubnan.

“Sekarang kita dapat melihat bahawa kezaliman negara haram Israel bukan sahaja berlaku terhadap rakyat Palestin tetapi juga merebak ke Lubnan.

“Maka, pentingnya untuk kita bersama-sama dengan negara-negara yang berterusan menentang kezaliman Israel seperti Ireland.

“Kita juga berbincang dengan Duta negara tersebut mengenai mekanisme-mekanisme yang boleh diambil bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin itu sendiri,” ujarnya.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berterima kasih kepada Ireland kerana tetap memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Kata beliau lagi, kedutaan negara tersebut benar-benar memberikan layanan yang baik.

“Maka, kita akan bersama-sama dengan Ireland dalam perjuangan membela nasib rakyat Palestin ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/11/2024