KUALA LUMPUR: Penawaran perkhidmatan firma pengurusan individu kaya (SFO) di dalam negara memerlukan kajian risiko oleh pihak kerajaan.
Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) berkata, itu berikutan kerana risiko pembiayaan keganasan dan penggubahan wang haram dijangka berlaku disebabkan struktur perniagaan yang kurang telus dan sukar dikesan.
Menurutnya, begitu juga, ketidaksamaan ekonomi akan berlaku, tertumpu pada sektor tertentu, dan sudah tentu projek-projek mega akan diutamakan.
Beliau berkata, tekanan infrastruktur kewangan akan berlaku, di mana maklumat daripada laporan akhbar tempatan menyatakan bahawa insentif yang diberikan oleh negara adalah antara sifar hingga lima peratus sahaja cukai yang dikenakan.
“Jadi ia sangat bertentangan dengan belanjawan negara kita, yang kita nak letakkan subsidi dihapuskan.
“Tetapi di sini kita lihat dikecualikan cukai kepada golongan maha kaya, sifar cukai. Kemudian begitu juga kadar cukai korporat konsesi sifar hingga lima peratus sahaja. Jadi saya mahu komen daripada menteri,” ujar beliau.
Beliau mengemukakan soalan tambahan itu pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam jawapannya berkata, skim SFO yang baru diperkenalkan bertujuan untuk meningkatkan aktiviti dan menggandakan ekonomi dalam negara dengan menarik pelabur luar.
Menurutnya, skim itu juga dijangka menjana pekerjaan untuk rakyat dan menggalakkan penggunaan dana di dalam negara.
Terangnya, pemantauan terhadap skim itu dilakukan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara, terutama dalam aspek pematuhan AMLA, untuk memastikan tidak berlaku isu berkaitan penggubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan sasaran Kerajaan dalam menarik lebih banyak Family Offices/firma pengurusan individu kaya untuk beroperasi di Malaysia, berapa bilangan dan nilai pelaburan yang dijangka dalam tempoh lima tahun, dari mana pasaran utamanya serta apakah insentif yang akan disediakan untuk meningkatkan daya saing negara. – HARAKAHDAILY 5/11/2024