PM disifatkan tidak jujur jawab isu libat BlackRock

Kenapa tak risau mengenai isu MAHB seperti Fashion Vallet?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan sikap berbeza ditunjukkan kerajaan dalam isu Fashion Vallet berbanding isu Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

- Advertisement -

“Kalau bimbang dengan isu Fashion Vallet, maka kenapa tak bersifat sebegitu dalam isu penjualan sebahagian saham MAHB kepada Global Infrastructures Partners (GIP) BlackRock?” soalnya.

Beliau yang kini dalam tempoh pergantungan daripada menghadiri Sidang Dewan merujuk pertanyaan Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman kepada Perdana Menteri mengenai isu MAHB tersebut.

“Soalan tersebut ditanya ketika Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) atau penerangan khas mengenai isu Palestin yang mana jawapan yang Perdana Menteri berikan adalah tidak jujur pada pandangan saya.

“Ini kerana isu MAHB ini bukanlah susah sangat untuk kerajaan mengambil tindakan yang lebih adil,” katanya dalam satu Sesi Sidang Media di Parlimen hari ini.

Menurut beliau, Kerajaan Norway melalui dana persaraannya iaitu KLP sendiri sanggup menarik keluar dana pelaburan mereka dalam syarikat Caterpillar yang bertanggungjawab membekalkan jentolaknya bagi merobohkan rumah-rumah rakyat Palestin.

Tambah beliau, ini kerana Kerajaan Norway sendiri mengambil kira nilai kemanusiaan dalam melakukan sebarang pelaburan.

“Tambahan pula, sekarang timbulnya isu Fashion Vallet yang mengalami kerugian yang besar. Saya cuma nak pesan dengan kerajaan iaitu kalau kamu boleh bimbang dengan isu Fashion Vallet, mengapa tidak dalam MAHB ini?

“Ini kerana GIP milik BlackRock terbukti tidak mampu menguruskan banyak lapangan terbang negara kita seperti mana MAHB mengendalikannya.

“Jadi saya ingin memperingatkan kerajaan supaya jangan ulangi kesalahan tatacara dan tatakelola dana-dana yang melibatkan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Sehubungan itu, Fayhsal menyatakan kerajaan masih tidak dapat memberikan jawapan yang tuntas mengenai isu MAHB ini.

Beliau mempersoalkan sama ada hanya GIP milik BlackRock sahaja yang dapat menaiktaraf segala lapangan terbang di bawah pengendalian MAHB ini.

“Sampai sekarang rakyat tidak dapat melihat perjanjian yang melibatkan GIP milik BlackRock dalam urusan MAHB dengan jelas.

“Jadi saya ingin menyatakan bahawa Perdana Menteri boleh buat sesuatu yang lebih baik lagi dalam isu sebegini seperti mana Kerajaan Norway sanggup menarik balik semula dana pelaburannya daripada syarikat Caterpillar,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/11/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -