Percepat projek RTB Baling untuk keselamatan rakyat

Hassan Saad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran segera mengambil langkah untuk mempercepatkan projek tebatan banjir (RTB) dan memberikan peruntukan yang lebih besar dalam belanjawan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Baling.

- Advertisement -

Hassan Saad (PN-Baling) berkata, projek RTB di kawasan itu amat perlahan seolah-olah dibiarkan begitu sahaja tanpa hala tuju yang jelas.

“Jadi persoalan saya kepada pihak kerajaan, apakah langkah yang akan diambil untuk mempercepatkan projek RTB ini?

“Adakah belanjawan kali ini akan memberi peruntukan lebih besar untuk memastikan rakyat di Baling tidak lagi hidup dalam ketakutan setiap kali hujan lebat turun.

“Rakyat mengharapkan prihatin serta tindakan segera daripada kerajaan, bukan janji yang tidak tertunai,” ujar beliau.

Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Menurutnya, tebing sungai di Taman Mesra, Kupang, dan di Iboi dalam keadaan berbahaya dan berisiko untuk runtuh, meskipun laporan telah dibuat berulang kali tanpa sebarang tindakan.

Oleh itu beliau berkata, seruan dibuat kepada pihak kerajaan untuk mengambil tindakan segera sebelum berlaku kehilangan nyawa.

Beliau menerangkan bahawa, kawasan Baling baru-baru ini dilanda dua musibah, iaitu ribut yang menjejaskan lebih daripada 250 buah rumah dan banjir yang melibatkan lebih daripada 500 buah rumah.

“Saya ingin menyentuh berkaitan dengan nasib rakyat Baling. Setiap kali saya berdiri di dewan ini, isu banjir di Baling sentiasa menjadi keutamaan memandangkan sehingga hari ini masih tiada tindakan responsif daripada pihak kerajaan untuk membantu rakyat yang saban kali terkesan setiap kali banjir melanda.

“Pihak kerajaan dilihat berdiam diri dalam isu ini dengan masing-masing melemparkan kesalahan dan bermain politik, sedangkan rakyat di Baling sedang menderita.

“Rakyat Baling adalah rakyat Malaysia yang sepatutnya dilindungi oleh kerajaan. Namun ketidakperhatian yang ditunjukkan terhadap penderitaan ini amat mengecewakan.

“Sepertimana yang saya sebut lebih daripada 500 buah rumah terkesan akibat banjir yang melanda sebanyak lima kali atau disebut lima gelombang dalam tempoh yang terdekat,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/11/2024