KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri telah mengatur pelbagai persiapan untuk memastikan kelancaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan berlangsung pada bulan Disember ini, meskipun dalam suasana musim tengkujuh.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, banjir merupakan isu yang sinonim dengan negeri Terengganu dan tindakan telah diambil bagi memastikan kelangsungan pengajian pelajar walaupun menghadapi cabaran tersebut.
“Kita telah melihat beberapa negeri seperti Kedah, Pahang, dan Johor yang sudah terjejas dengan banjir, dan kami tidak ingin perkara yang sama berlaku kepada pelajar di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis penutup Festival Kaligrafi Islam Terengganu Peringkat Kebangsaan 2024, di Taman Tamadun Islam, di sini, semalam. (Foto atas)
Beliau berkata, dalam situasi terkini yang melibatkan Sekolah Agama Al Falah, kerajaan negeri akan mengambil langkah untuk memastikan pengajaran tidak terganggu.
“Kita pun ambil tindakan insya-Allah kita akan cuba supaya dia tidak mengganggu pengajian pelajar-pelajar kita,” katanya.
Menurutnya, beberapa alternatif sedang disediakan, terutama untuk sekolah-sekolah yang sering terjejas seperti Mahmudiyah dan Sekolah Menengah Islam (SMIDI) Hulu Terengganu.
“Kami akan menyediakan beberapa pusat alternatif, sama seperti tahun lalu di mana pelajar dipindahkan ke Khairiyah untuk menghadapi peperiksaan,” katanya.
Di samping itu, kata beliau, bagi program Tuisyen Rakyat yang kini dikenali sebagai Tuisyen Rakyat Sejahtera, akan diteruskan dengan penyertaan 32 DUN.
Menurut beliau, pogram itu dijadualkan bermula pada bulan November hingga Disember dan turut termasuk kelas tambahan khusus untuk STAM dan STPM di setiap daerah.
“Sambutan kali ini amat menggalakkan, alhamdulillah. Kami berharap program ini dapat membantu anak-anak Terengganu mengekalkan kecemerlangan mereka seperti sebelum ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/11/2024