KOTA BHARU: Pelabur yang berhasrat melabur di Kelantan disaran mengutamakan rakyat tempatan untuk bekerja di premis milik mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan, dan Keusahawanan, Mejar (B) Dato’ Md Anzam Ab Rahman berkata, keutamaan mesti diberi kepada pekerja tempatan.
Katanya ia sebagai usaha bagi menjamin ekonomi lebih baik kepada rakyat di negeri itu.
“Kita sarankan kepada pelabur supaya mengambil pekerja tempatan untuk menjamin ekonomi yang lebih baik kepada rakyat Kelantan,” katanya pada pelancaran Invest @ Kelantan Forum & Expo (INFEX) 2024, di sebuah hotel di sini semalam.
Program berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Menyentuh tentang Invest, Md Anizam berkata, antara tujuan program tersebut untuk memperkukuhkan Kelantan sebagai pusat pelaburan yang kompetitif di Malaysia.
Tambahnya, INFEX 2024 yang julung kali diadakan di Kelantan sebagai titik penting dalam usaha untuk memperkukuhkan sebagai pusat pelaburan di Malaysia.
“Penganjuran program tersebut akan dapat meningkatkan pembangunan ekonomi domestik khususnya mewujudkan peluang pekerjaan baharu melalui pelaburan yang mampan dan produktif.
“Pada masa yang sama ia dapat meningkatkan ekonomi negeri di samping memberi peluang kepada pelabur tempatan mempromosi produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran lebih luas,” katanya.
Sempena program terbabit sebanyak tiga segmen dengan lapan slot pembentangan diadakan termasuk disampaikan Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan Mohamad Nasrif Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERD) Dato’ Baidzawi Che Mat. – HARAKAHDAILY 5/11/2024