KUALA LUMPUR: Keganasan yang dilakukan rejim haram Israel telah dilindungi oleh negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Eropah dan sekutunya yang kononnya dianggap paling demokrasi dan memperjuangkan hak asasi manusia.
Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berkata, negara-negara itu menguasai Tabung Kewangan Antarabangsa; Bank Dunia dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa menyebabkan banyak negara yang menjadi ‘makmum’ termasuk Malaysia.
Menurut beliau, situasi itu menyebabkan negara-negara itu tidak berani bertindak tegas secara bersekutu dan bersama dalam mengambil tindakan terhadap negara haram Israel.
“Banyak negara-negara yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan apa yang berlaku. Negara Amerika Latin mengambil tindakan memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel; membatalkan normalisasi dengan Israel.
“Afrika Selatan membawa kes ke Mahkamah Antarabangsa. Sepatutnya negera Islamlah, (sewajarnya) Malaysia di antaranya yang berani. Ini tak berani,” katanya.
Beliau yang juga Presiden PAS menyatakan perkara itu sewaktu mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Jelasnya, apa yang berlaku di Palestin menggambarkan sikap kuasa-kuasa besar yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa; Mahkamah Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan hak asasi manusia.
“Pembunuhan terhadap orang tua, terhadap kanak-kanak, terhadap orang sakit. Kuburan pun diserang. Rumah ibadat, gereja, masjid, sekolah dimusnahkan oleh negara yang dianggap paling demokrasi,” katanya.
Menurut beliau, pemimpin negara ini banyak membuat kenyataan yang berdegar-degar menyokong perjuangan rakyat Palestin, namun, dalam masa yang sama mengikut polisi yang dibawa oleh negara besar yang membantu Israel dengan senjata.
“Yang berpura-pura dengan perdamaian membawa pendekatan ‘two state solution’. Pendekatan dua negara yang ditolak oleh Israel, ditolak oleh Zionis.
“Memaksa orang lain menerima pertukaran ini, maka korban terus berlaku hari ini. Kita perlu membuat muhasabah terhadap sikap kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/11/2024