KUALA LUMPUR: Kejadian padi lemas boleh ditakrifkan sebagai pokok padi yang tenggelam akibat banjir meliputi usia padi yang telah berbunga (usia padi: 45 hingga 70 hari), masak (usia padi: 70-90 hari) dan sedia untuk dituai (usia padi: 115-120 hari).
Terdapat bantuan yang disediakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kepada para pesawah yang mengalami kemerosotan pengeluaran hasil padi akibat bencana alam termasuklah padi ‘lemas’ akibat bencana banjir, sebagai contoh, banjir besar yang melanda negeri Kedah, baru-baru ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, bantuan yang diberikan adalah melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP).
“Bantuan ini adalah berbentuk ‘touch point’ iaitu penyaluran bantuan secara tunai khusus kepada pesawah yang mengalami kerugian akibat bencana alam,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Dr. Abd Ghani Ahmad [PN-Jerlun] di Dewan Rakyat, semalam.
Abd Ghani dalam soalannya meminta menteri itu Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan adakah Kementerian menyediakan bantuan khas padi ‘lemas’ akibat banjir baru-baru ini kepada pesawah dan jika ya, apakah kriteria yang ditetapkan bagi melayakkan pesawah mendapat bantuan tersebut.
Tambah Menteri, kadar bantuan yang diberikan kepada pesawah adalah mengikut keluasan musnah (hektar) iaitu bagi peringkat tanaman 1 hingga 70 hari, kadar bantuan adalah sebanyak RM876 per hektar, manakala bagi peringkat tanaman 71 hingga 120 hari adalah sebanyak RM1,800 per hektar.
Katanya, jumlah maksimum bantuan kepada setiap pesawah yang layak adalah terhad kepada kawasan musnah seluas tiga hektar sahaja dalam satu musim penanaman.
Jelasnya, kriteria yang ditetapkan bagi pemberian bantuan ini ialah warganegara Malaysia, pesawah individu berdaftar dengan agensi di bawah kementerian dan mempunyai dokumen diri yang sah.
Katanya, para pesawah yang terjejas boleh mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pertanian (DOA) Daerah atau DOA negeri.
Tambahnya, antara dokumen yang diperlukan adalah salinan laporan polis, gambar semasa dan selepas kejadian di kawasan terjejas sepertimana tatacara pengambilan gambar yang ditetapkan, rekod taburan hujan atau bencana lain dan dokumen-dokumen lain dan bukti-bukti yang sah. – HARAKAHDAILY 5/11/2024