KUALA LUMPUR: Padang Stadium Nasional Bukit Jalil perlu dinaik taraf menjadi bertaraf antarabangsa oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) demi menjaga maruah dan imej Malaysia di persada dunia.
Zakri Hassan (PN-Kangar) berkata, itu berikutan setiap kali perlawanan bola sepak melibatkan pasukan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, polemik mengenai kualiti padang sering timbul.
Menurutnya, ketika ini, Stadium Bukit Jalil sunyi kerana tiada perlawanan, namun stadium itu menjadi rebutan untuk perlawanan bola sepak dan konsert antarabangsa, sedangkan negara lain sudah jauh meninggalkan negara dari segi kualiti padang.
“Sejauh manakah keberhasilan pelaburan PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) untuk memastikan padang agak baik?
“Yang terakhir adakah KBS bersedia bercadang untuk membina stadium baru khusus untuk bola sepak untuk pasukan Malaysia sahaja sebab ini melibatkan maruah Malaysia termasuk maruah KBS di mata dunia,” ujar beliau.
Beliau mengemukakan soalan tambahan itu pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh Tseow Suan dalam jawapannya berkata, KBS menghargai sokongan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dalam usaha meningkatkan kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, terutama dalam penyelenggaraan padang bola sepak.
Menurutnya, KBS telah menyelesaikan isu banjir di stadium dan sedang berusaha untuk memperbaiki rumput dengan menggunakan jenis hibrid serta melaksanakan moratorium terhadap konsert agar tidak merosakkan padang.
Dalam pada itu, beliau berkata KBS juga memberikan geran kepada negeri-negeri untuk menaik taraf infrastruktur sukan, tetapi hanya Kelantan yang telah memulakan kerja tersebut.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan apakah usaha Kementerian dalam meningkatkan hasil negara melalui penganjuran lebih banyak konsert serta menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai fasiliti pelbagai guna bertaraf dunia. – HARAKAHDAILY 5/11/2024