KUALA LUMPUR: Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PN-Marang) menegaskan mesti ada kebebasan untuk memberi nasihat kepada kerajaan.
‘Ini kita ada tiga R (3R) pula. Tiga R ni, tak boleh nak sentuh, pemimpin tak boleh sentuh kerajaan, agama tak boleh sentuh. Banyaklah, tak boleh sentuh,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Sedangkan, jelas beliau Allah Ta’ala menyebut dalam al-Quran supaya ‘berpesan dengan kesabaran, berpesan dengan kebenaran’.
Beliau turut berpesan, berkaitan agama itu adalah nasihat.
“Nabi kata, Ad-dinun nasiha, agama itu nasihat. Sahabat tanya nasihat untuk siapa? Nasihat untuk Allah, untuk Rasul, untuk kitabnya, untuk raja-raja dan pemimpin-pemimpin. Nasihat untuk semua orang. Dibenarkan nasihat,” ujarnya.
Menurut Tuan Guru, menutup pintu nasihat dalam urusan kerajaan hanya akan mencetuskan suasana di mana kelemahan pentadbiran tidak dapat ditegur.
“Supaya kita kena sedar, bahawa kerajaan manusia ni, bukan kerajaan yang maha berkuasa, maha suci. Tidak. Manusia ada kelemahan-kelemahan, yang boleh membetulkan kerajaan, nasihat-nasihat itu.
“Bila kita bawa 3R ni akan jadi, tertutup. Kerajaan boleh buat apa sahaja. Kelemahan-kelemahan dia tak boleh ditegur dan sebagainya.
“Kalau tegur macam-macam lah, kena halau dewan, tak boleh masuk dewan ada tindakan-tindakan, polis datang siasat.
“Saya dekat puluh kali polis datang siasat. Tapi bila polis datang siasat, saya jawablah. Saya akan jawab di mahkamah. Senang je boleh tulis jawab mahkamah, jawab mahkamah, jawab mahkamah, sekejap lima minit, selesai. Saya tunggulah bila mahkamah, nak cakap. Itu sahaja,” katanya lagi.
Beliau menambah, apa yang penting jangan ditutup pintu nasihat.
“Tiap-tiap orang, ketua negara Islam, Abu Bakar As-Siddiq dalam ucapan dasar, mula-mula dilantik menjadi ketua negara, kalau saya betul, tolong saya. Kalau saya salah, tegur saya, taatlah saya kalau saya betul. Kalau saya salah, jangan taat saya.
“Sayyidina Umar mengatakan, kalau saya betul, tolong saya. Kalau saya salah, tegur saya.Lalu seorang yang hadir mengatakan wahai amirulmukminin,kalau silap saya akan tegur dengan keras. Dengan keras pun tak apa. Keras pun tak apa. Tegurlah saya. Saya akan terima nasihat.
” Pernah dalam satu peristiwa Sayyidina Umar, menyampaikan ucapan sebagai Ketua Negara lepas dia berucapan, perempuan tegur dia. Seorang wanita biasa tegur dia.
“Wahai Amirul Mukminin, ucapan ini salah tak betul. Selepas dia turun daripada mimbar, dia naik semula.
“Lagi mengatakan bahawa, Aswa’ batil mar’ah, wakhzah Umar. Perempuan betul, Umar salah. Dia tarik balik kesilapan dia, yang berkait dengan hak wanita. Ini cara terbuka yang diajar oleh Islam,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 5/11/2024