MBK: Sediakan modul latihan keselamatan diri

Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesediaan untuk menerapkan pelajaran mengenai keselamatan diri dalam sukatan pelajaran Murid Berkeperluan Khas (MBK) adalah satu langkah yang sangat penting.

- Advertisement -

Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) berkata, sukatan pelajaran untuk MBK perlu disesuaikan supaya dapat menangani keperluan pembelajaran yang berbeza mengikut jenis keperluan khas murid.

“Adakah kementerian menyediakan modul latihan atau kursus bagi guru-guru atau bakal guru terlatih berkenaan kesediaan pembelajaran dan pengajaran (PdP) keselamatan diri pelajar orang kurang upaya (OKU) mengikut jenis OKU?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dalam soalan asal, beliau meminta Menteri Pendidikan menyatakan kesediaan untuk menerapkan pelajaran mengenai keselamatan diri dalam sukatan pelajaran Murid Berkeperluan Khas (MBK) sejajar dengan manifestasi Dasar Orang Kurang Upaya.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kementeriannya memahami keperluan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) dan secara konsisten sentiasa mendukung dasar negara khususnya dasar orang kurang upaya.

“Pihak kementerian turut memberikan penekanan kepada aspek keselamatan diri dan perlindungan sosial di samping pendidikan, kesihatan dan advokasi yang merupakan sebahagian daripada strategi di bawah dasar OKU,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/11/2024