Khidmat Malaysia buat persiapan hadapi banjir

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sukarelawan Khidmat Malaysia di seluruh negara diminta membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir sempena musim tengkujuh sekarang.

- Advertisement -

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, Bilik Gerakan Negeri, Bilik Operasi, kelengkapan dan peralatan pentadbiran di peringkat kawasan perlu dipersiapkan.

Katanya, Bilik Gerakan Negeri perlu memulakan operasi sebulan sebelum Monsun Timur Laut (MTL), manakala Bilik Operasi di peringkat kawasan perlu beroperasi dua minggu sebelum MTL.

“Khidmat Malaysia memberi fokus kepada memperkemaskan organisasi dan SOP menyelamat,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim di Kota Darulnaim semalam.

Turut hadir Setiausaha Khidmat Malaysia, Ashrul Hisham Abdul Jalil dan beberapa Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Khidmat Malaysia.

Pada 1 November lalu Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangka Monsun Timur Laut 2024/2025 bermula hari ini sehingga Mac depan.

Khairul Faizi juga berkata, perbincangan dengan anggota Exco kerajaan Kelantan untuk memperkemaskan pengurusan SOP ketika berlaku banjir.

Sementara itu, Rohani berkata berkongsian dengan Khidmat Malaysia Pusat begitu berharga kerana ia turut membincangkan persediaan bantuan yang diperlukan masyarakat setempat.

“Ia merangkumi keperluan semasa seperti sumber air, makanan, penginapan, kesihatan dan Rawatan fizikal dan mental.

“Inisiatif ini bagi memastikan semua pihak bersedia dan cekap dalam menghadapi kemungkinan banjir serta cabaran mendatang,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/11/2024