Kelantan pertingkat operasi Pusat Khidmat DUN

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menerbit sebuah buku sebagai panduan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kecekapan penyampaian Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (PKD).

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, langkah itu supaya selari dengan dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).

Katanya, hasrat tersebut dimuat dalam sebuah buku diterbit Unit Pemantauan dan Pemantauan Strategik (SPARK), Pejabat Menteri Besar.

“Kerajaan negeri melakukan penyeragaman operasi PKD di bawah Standard Pengurusan dan Pentadbiran. PKD merupakan cerminan bagi wakil rakyat, kualiti perkhidmatan dan kecekapan penyampaian hendaklah ditingkatkan selari dengan perkembangan semasa.

“SPARK akan membuat pemantauan susulan bagi memastikan perkara itu dilaksana,” katanya pada majlis Sambutan MBI Kali Ke-34 di sini hari ini.

Turut hadir mantan Menteri Besar, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob; Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhammad.

Menteri Besar juga berkata, penjawat awam diminta meningkatkan lagi penyampaian perkhidmatan kepada rakyat sebagai barisan hadapan dalam memperkukuh prinsip pentadbiran Penghayatan Membangun Bersama Islam. – HARAKAHDAILY 5/11/2024