KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menghormati tindakan pihak berkuasa Thailand dalam menjalankan proses perundangan terhadap enam individu rakyat negeri ini yang ditahan di Sungai Golok kerana memiliki dadah jenis pil kuda pada Jumaat lalu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berharap kes tersebut dapat menjadi pengajaran kepada rakyat khususnya di Kelantan dalam melakukan kegiatan haram.
Menurutnya, kerajaan negeri juga turut menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa Thailand termasuk tindakan yang akan diambil mereka mengikut undang-undang negara itu.
“Saya difahamkan salah seorang daripada enam yang ditahan itu adalah ikon penyanyi dikir barat.
“Kita mengharapkan apa yang berlaku itu tidak benar. Tetapi sekiranya betul, kita amat sedih kerana tidak wajar perkara itu berlaku,” ujarnya.
Beliau turut berharap, rakyat Kelantan yang sudah ada nama supaya berjaga-jaga dan berilah contoh teladan yang baik kepada masyarakat bersesuaian dengan nama mereka yang dikenali ramai.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Majlis Perasmian Invest@Kelantan Forum dan Expo 2024 (INFEX2024) di sebuah hotel, di sini semalam.
Beliau turut menegaskan Kelantan terpaksa berhadapan dengan risiko terbabit (pengedaran dadah) kerana negeri berkenaan sempadan dengan negara jiran.
Jelasnya, walaupun Kelantan digelar sebagai Serambi Mekah namun situasi berkenaan akan berlaku memandangkan pengaruh daripada negara jiran termasuk produk mereka mudah masuk ke negeri ini.
Beliau berkata, setiap negeri mempunyai masalah jenayah dan sosial tersendiri.
Bagaimanapun jelasnya, ia menjadi tugas kerajaan negeri dalam menangani perkara itu bersama agensi-agensi yang terlibat.
“Alhamdulillah Kelantan ini negeri beragama, kita ada banyak sekolah-sekolah Arab, guru-guru agama, ulama dan masjid yang beroperasi.
“Rupa-rupanya Allah dah rancang begitu, sebab kita berada di barisan hadapan dan benda tak baik seperti pil kuda nak masuk ke Malaysia terpaksa melalui Kelantan dulu.
“Maka kalau kita sebuah negeri yang tak kuat, kita akan rosak. Biarlah orang nak kata apa kerana semua orang boleh berkata, yang penting sebagai pemimpin negeri kita kena pastikan kita dapat kawal dengan kerjasama agensi penguat kuasa,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan enam rakyat Malaysia termasuk seorang wanita yang merupakan penyanyi dikir barat Kelantan yang viral dengan lagu topnya ditahan di sebuah hotel di Sungai Golok kerana memiliki 6,000 pil kuda. – HARAKAHDAILY 5/11/2024