Kecewa hak peruntukan ahli parlimen pembangkang kekal dinafikan

Zurk Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Selangor menzahirkan rasa kecewa dengan Belanjawan 2025 yang dilihat terus menafikan hak peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.

Ketua Penerangannya, Zurk Ahmad sebaliknya berkata, ahli parlimen di pihak kerajaan telah mendapat kelebihan berat sebelah dalam menjalankan tugas mereka berbanding ahli parlimen pembangkang sepanjang dua tahun pemerintahan kerajaan campuran Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

- Advertisement -

“Urusan dan keperluan rakyat di setiap kawasan parlimen adalah menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan secara umumnya. 

“Semua ahli parlimen yang telah dipilih secara demokrasi oleh rakyat hanya menjadi wakil kepada kerajaan yang akan menjaga kebajikan rakyat di kawasan masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah beliau, rakyat di kawasan pembangkang tidak sepatutnya dihukum dengan menafikan peruntukan yang sewajarnya kepada setiap ahli parlimen mereka.

“Tidak selayaknya sebahagian rakyat negara ini di setiap kawasan pembangkang terus dihukum dengan menafikan peruntukan yang wajar kepada setiap ahli parlimen mereka. 

“Rakyat mempunyai hak dan keperluan yang dipertanggungjawabkan kepada ahli parlimen untuk diuruskan. 

“Hukuman atas dendam politik yang masih berlarutan sehingga tahun kedua ini membuktikan kerajaan Madani tidak profesional dan matang dalam membezakan urusan pentadbiran negara dan politik dengan pihak pembangkang.

“PAS Selangor mendesak agar kerajaan yang masih berkuasa hari ini berani bertindak adil seperti dicanang kepada rakyat dengan menoktahkan isu peruntukan yang dinafikan kepada pembangkang,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/11/2024