SIK: Kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sentiasa menghormati semua kaum dan agama di negeri ini tanpa sebarang diskriminasi.
Sungguhpun masyarakat Siam beragama Buddha merupakan golongan minoriti, namun Pesta Loy Krathong bagi peringkat negeri tetap dilaksanakan untuk diraikan oleh kaum berkenaan.
Pesta Loy Krathong merupakan satu perayaan yang disambut oleh penganut beragama Buddha Siam pada setiap bulan 12 mengikut Takwim Qamari Thai.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India, Siam dan NGO, Wong Chia Zhen dalam pada itu telah melakukan lawatan ke Wat Kalai, Kampung Kalai di Jeneri, di sini di mana pesta tersebut akan diadakan.
“Pesta itu akan diadakan pada 15 November ini khusus untuk masyarakat Siam beragama Buddha di negeri ini. Semoga semua persiapan berjalan lancar dan acara ini dapat berlangsung dengan meriah.
“(Juga) mempamerkan keindahan budaya serta mempereratkan hubungan antara masyarakat setempat,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
ADUN Kulim tersebut terdahulu telah mempengerusikan mesyuarat penyelarasan dan lawatan tapak bagi Pesta Loy Krathong Peringkat Negeri Kedah Darul Aman 2024. – HARAKAHDAILY 5/11/2024