KUALA LUMPUR: Keganasan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin bukan sahaja semakin menjadi-jadi tetapi mula merebak ke negara lain seperti Lubnan.
Walaupun konflik antara Palestin dengan Israel bukan merupakan sesuatu yang baharu tetapi apa yang pastinya ialah keadaan tersebut semakin parah dari semasa ke semasa.
Sudah beberapa perjanjian damai telah dilakukan bagi meredakan keadaan di negara Palestin tetapi usaha tersebut menemui kegagalan kerana sifat rejim Zionis itu sendiri yang sering mengkhianati perjanjian-perjanjian tersebut.
Bukan itu sahaja, malah kaedah penyelesaian dua negara (two-state solutions) juga tidak memperoleh sebarang kejayaan memandangkan rejim tersebut tidak berminat untuk berkongsi tanah dengan rakyat Palestin.
Maka, tidak mustahil bahawa mereka akan terus melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin dan perkara tersebut sudah tentu mengancam keamanan masyarakat dunia.
Sehubungan itu, Ceramah Perdana Perdana 1 Tahun Taufan Al-Aqsa akan diadakan pada hari ini bagi membincangkan isu tersebut.
Ia bakal berlangsung di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) Taman Melewar pada jam 9 malam ini dan dihadiri enam tokoh yang amat penting dalam perjuangan tersebut.
Mereka terdiri daripada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman; Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya; dan Ketua Hal Ehwal Politik Palestine Culture Organization Malaysia, Muaz Omar.
Ceramah tersebut juga dihadiri oleh seorang lagi tokoh yang tidak berhenti sedikit pun dalam memperjuangkan isu BlackRock iaitu Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Sehubungan itu, orang ramai dijemput untuk hadir dalam ceramah pada malam ini sebagai tanda bersolidariti sentiasa bersama-sama dengan rakyat Palestin. – HARAKAHDAILY 5/11/2024