KOTA BHARU: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud menggariskan lima kejayaan pemerintahan kerajaan negeri sempena sambutan 34 tahun Membangun Bersama Islam (MBI).
Beliau berkata, rakyat yang lahir pada tahun 1990 atau tahun awal pemerintahan kerajaan negeri, membesar dalam suasana Islam yang bebas dari aktiviti sosial dan perkara kemungkaran.
“Generasi MBI sudah berumur 34 tahun pada tahun ini membesar dalam persekitara Islam sehingga mereka tidak mengenali unsur kemungkaran di Kelantan telah berjaya ditangani dan dibanteras.
“Ini antara beberapa rangkuman bersifat makro hasil kejayaan Kelantan meletakkan Islam di hadapan dalam apa sahaja tindakan khasnya dalam pentadbiran kerajaan negeri sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Membangun Bersama Islam Kali ke 34 di Dewan Tok Guru Bentara Setia Kompleks Kota Darulnaim di sini pagi tadi. (Foto atas)
Turut hadir mantan Menteri Besar, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob; Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Kaya Setia Nazran Muhammad.
Mohd Nassuruddin berkata umat Islam di negeri itu sudah mengenali agenda pemisahan agama dan politik atau sekularism ekoran pelaksanaan dasar MBI dan diteruskan Penghayatan MBI sekarang.
Beliau juga berkata, Kelantan membuktikan Islam dapat memerintah dan mentadbir sebuah kerajaan, malah pelbagai perubahan dilaksanakan di negeri itu merangkumi ekonomi, sosial dan sebagainya.
Katanya, walaupun kepimpinan ulama sering dianggap pungguk rindukan bulan, namun kerajaan negeri membuktikan golongan itu mampu menjadi pemimpin dengan gandingan kepakaran dalam pentadbiran.
Kerajaan negeri sejak tahun 1990 mempraktikkan keadilan kepada semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan agama sehingga Kelantan dijadikan model perpaduan kaum di negara ini.
Selain itu martabat wanita terus menjadi tumpuan utama kerajaan negeri, apatah lagi mengenegahkan golongan itu dalam pelbagai lapangan bersesuai seperti kepimpinan dan pembelaan armalah.
“Tidaklah keterlaluan untuk kita mengatakan bahawa Kelantan bergerak seiring konsep negara hidayah yang diketengahkan Syeikh Abu Hassan Ali Nadawi, kerajaan ikut telunjuk Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/11/2024