Festival Kaligrafi serlah bakat seni khat generasi muda

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Majlis Festival Kaligrafi Islam Terengganu Peringkat Kebangsaan 2024 mencipta kejayaan besar apabila berjaya menarik seramai 250 peserta dari seluruh negara.

- Advertisement -

Festival yang berlangsung di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini menjadi platform untuk para penggiat seni khat mempamerkan bakat dan kreativiti mereka, sekali gus menyemarakkan semula minat terhadap seni khat di kalangan generasi muda.

Acara ini menampilkan pelbagai kategori antaranya khat spontan dan batik, yang membolehkan peserta baru dan berpengalaman menunjukkan kemahiran.

Menurut johan kategori batik, Nurul Hidayah Jusoh, beliau tidak menyangka akan meraih kemenangan, memandangkan itu adalah percubaan pertamanya dalam kategori tersebut.

“Saya tak sangka percubaan pertama dalam batik ini membawa kemenangan besar. Sebelum ini, saya hanya pernah mencuba khat di atas kanvas dan sekadar mendapat hadiah saguhati dalam pertandingan lain.

“Kali ini, saya cuba sesuatu yang baru dan Alhamdulillah ada rezeki,” katanya dengan penuh teruja.

Menurutnya, minat terhadap seni khat telah bermula sejak dari zaman persekolahan dan diasah semasa bekerja di Yayasan Restu.

“Di Yayasan Restu, saya mula terdedah kepada asas seni khat. Pengalaman di sana sangat membantu saya untuk lebih mendalami seni ini.

“Selain itu, suami saya, yang juga seorang penulis khat, banyak menggalakkan dan mengajar saya. Beliau adalah pendorong utama dan sumber inspirasi saya untuk terus berusaha dalam bidang ini,” katanya.

Suaminya, Mohd Hisyamuddin Ramli, menyuarakan harapan agar lebih banyak pertandingan seni khat dianjurkan pada masa akan datang.

Menurutnya, sokongan daripada kerajaan dan masyarakat amat penting untuk memastikan seni ini terus berkembang di era digital.

“Jika lebih banyak acara seperti ini dianjurkan, anak-anak muda akan lebih mudah mengenali dan menghargai seni khat, walaupun dalam era media sosial seperti TikTok. Seni ini memerlukan pendedahan yang lebih luas, dan acara seperti festival ini adalah peluang yang baik,” katanya.

Manakala Johan kategori terbuka spontan, Muin Ashfawi Zamri Solihin, melahirkan rasa syukur berpeluang menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh kerajaan Terengganu.

“Saya sangat gembira apabila mendapat pengiktirafan dalam pertandingan ini. Seni khat sekarang ini kurang digunakan dan dipelajari oleh generasi muda.

“Bila kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk memartabatkan seni ini, ia memberikan semangat kepada kami untuk terus berkarya,” ujarnya.

Beliau yang mula berjinak-jinak dalam seni khat sejak sekolah menengah, menjelaskan bahawa minatnya semakin mendalam apabila menyertai pertandingan Ihtifal Ilmi di sekolah agama.

Katanya, dari situ, beliau mengasah bakatnya sehingga melanjutkan pengajian di Indonesia.

Setelah kembali ke Malaysia, beliau meneruskan latihan di Yayasan Restu dan kini berkhidmat di sana.

Muin berkata, sepanjang penglibatannya dalam lima pertandingan seni khat, beliau berjaya meraih beberapa anugerah berprestij.

“Antara anugerah yang saya dapat, terbaru Johan Spontan Peringkat Kebangsaan di Sabah dan juga tempat ketiga dalam pertandingan khat peringkat ASEAN, juga di Sabah,” katanya.

Menurutnya, untuk menghasilkan karya khat yang cantik, kesabaran dan kegigihan sangat penting.

“Setiap huruf perlu ditulis dengan teliti dan penuh kesabaran. Saya rasa cabaran paling besar dalam bidang ini ialah kesabaran untuk menguasai setiap gerakan.

“Ramai yang mula belajar tetapi putus asa di tengah jalan kerana memerlukan latihan yang berterusan,” tambahnya sambil mengingatkan bahawa bimbingan guru juga penting untuk mencapai kemahiran yang tinggi. – HARAKAHDAILY 5/11/2024