Benih padi: Umur matang 110 hingga 120 hari

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pada masa ini benih padi yang terdapat dalam negara mempunyai umur matang antara 110 hingga 120 hari, kata Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan.

- Advertisement -

Menurutnya, kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan hasil pengeluaran melalui penggunaan benih padi yang mempunyai tempoh matang yang singkat.

Katanya, berdasarkan kepada senarai varieti benih padi yang telah diisytiharkan sedia ada, MARDI mempunyai varieti matang awal sekitar 95 hingga 105 hari seperti MR211, MR253, MR220 CL1 dan MR 220 CL2 dan mempunyai potensi hasil sekitar 6 hingga 8 tan metrik per hektar.

Tambahnya, varieti seperti MR 220-CL2 merupakan antara varieti yang popular dan banyak digunakan oleh pesawah di Semenanjung Malaysia berikutan hasil yang tinggi dan tempoh matang yang singkat sekitar 97 hari.

Datuk Muslimin Yahaya

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Muslimin Yahaya [PN-Sungai Besar] di Dewan Rakyat, semalam.

Muslimin dalam soalannya meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan usaha kementerian untuk membangunkan benih padi sah yang tempoh matangnya lebih pendek untuk mengurangkan kos yang ditanggung oleh pesawah sebagaimana yang telah di buat di negara Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Tambah menteri itu lagi, antara usaha pembangunan benih padi yang dilaksanakan oleh kementerian adalah melalui agensi penyelidikan seperti MARDI telah menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan badan penyelidikan swasta bagi pembangunan varieti benih padi baharu yang boleh dituai dalam tempoh kurang daripada 75 hari, bertoleransi tinggi kepada pengairan yang fleksibel dan berdaya tahan dalam cuaca ekstrem.

Katanya, dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13), MARDI menyasarkan ia berada pada peringkat penilaian hasil varieti matang awal di peringkat multi lokasi dan penentusahan setempat di kawasan jelapang bersama pesawah.

Menurutnya, varieti tersebut disasar untuk dikomersilkan pada tahun 2027.

Dalam tempoh terdekat, ujarnya MARDI turut menyasarkan untuk memperkenalkan varieti baharu yang sesuai bagi persekitaran kawasan luar jelapang pada tahun 2025. – HARAKAHDAILY 5/11/2024