KUALA TERENGGANU: Sebarang permohonan untuk menukar syarat penggunaan tanah akan diuruskan secara teliti dan dinilai berdasarkan kes demi kes.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan, dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim, setiap permohonan akan melibatkan pandangan daripada beberapa jabatan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pertanian, Jabatan Kerja Raya (JKR), dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Kita akan nilai, kalau sekiranya ada fakta-fakta yang masih lagi tak lengkap biasanya kita akan cuba turun ke lapangan sendiri untuk kita pastikan tanah yang dipohon bolehlah kita pertimbangkan untuk tukar syarat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Industri Padi Terengganu 2024 ‘Pengurusan Tepat, Hasil Berlipat’ di Dewan Perpustakaan Awam Negeri, di sini, hari ini.
Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, bagi kawasan yang masih merupakan tanah pertanian aktif, pertimbangan untuk menukar syarat akan dilaksanakan dengan sangat ketat.
“Sekiranya pemilik tanah tidak mempunyai pilihan lain untuk mendirikan rumah kediaman, pertimbangan khas mungkin diberikan untuk sebahagian kecil tanah tersebut.
“Permohonan untuk menukar syarat tanah bagi tujuan pembangunan kemudian dijual pula tidak akan dipertimbangkan,” katanya.
Mengulas mengenai pembangunan projek-projek kerajaan di kawasan tanaman padi, beliau berkata, langkah berhati-hati diambil untuk mengelakkan gangguan kepada kawasan pertanian yang aktif.
“Hatta dalam perancangan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kita suarakan supaya kawasan tanaman padi dibina jejambat supaya jangan menambak di kawasan padi.
“Sebab bila menambak banyak kesan diantaranya akan menjejaskan sistem pengairan, pergerakan jentera dan sebagainya.
“Kami cuba elakkan projek daripada menjejaskan kawasan tanaman padi, khususnya di Besut yang termasuk dalam kawasan jelapang padi IADA Ketara,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/11/2024