TLDM sentiasa komited pastikan keselamatan perairan negara

Kalam Salan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan melalui Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa komited dalam memastikan keselamatan perairan negara dan mencegah sebarang bentuk ancaman di kawasan perairan negara.

- Advertisement -

Menteri Pertahanan berkata, pada masa kini, TLDM mengoperasikan sebanyak 53 buah kapal yang terdiri dari pelbagai kelas bagi memenuhi keperluan operasi serta pelaksanaan rondaan di Zon Maritim Malaysia.

“Ianya melibatkan kapal selam, frigat, korvet, kapal ronda, kapal logistik, kapal penangkis periuk api, kapal latihan, kapal layar dan kapal hidrografi,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Kalam Salan [PN-Sabak Bernam] di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam soalannya, Kalam meminta Menteri Pertahanan menyatakan senarai aset kapal yang masih digunakan TLDM dan adakah kerajaan bercadang untuk memiliki aset kapal induk/kapal pengangkut pesawat pejuang untuk menjaga perairan dan keselamatan negara.

Tambah menteri itu, berhubung cadangan supaya kerajaan memiliki aset kapal induk/kapal pengangkut pesawat pejuang, kerajaan perlu memberi fokus terhadap perolehan aset-aset strategik yang telah digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.

Pada masa ini, jelasnya pihak TLDM telah membangunkan pelan pembangunan keupayaan domain laut bagi memperkasakan keupayaan pertahanan dan kapasiti ATM dalam mencegah sebarang bentuk ancaman di kawasan perairan negara selaras dengan Kertas Putih Pertahanan melalui Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 (Platform).

Katanya, Kertas Putih Pertahanan juga telah menjelaskan perancangan kerajaan bagi membangunkan Angkatan Masa Hadapan untuk merealisasikan strategi Cegah Rintang Berpadu.

“Strategi ini menggariskan keperluan keupayaan TLDM yang merangkumi keupayaan pelbagai dimensi peperangan maritim, pengangkutan laut strategik serta operasi amfibi,” ujarnya.

Katanya, bagi memenuhi keperluan pengangkutan laut strategik dan operasi amfibi, TLDM telah melaksanakan perolehan kapal Multi Role Support Ship (MRSS) di bawah RMKe-13.

Tambahnya, kapal MRSS juga berupaya membawa sekurang-kurangnya 2 buah helikopter dan bertindak sebagai kapal induk bagi tujuan pelbagai operasi maritim. – HARAKAHDAILY 4/11/2024