KUALA LUMPUR: Semak semula gaji permulaan bagi penjawat awam gred rendah yang kini bergelut dengan kos sara hidup tinggi, terutamanya di kawasan bandar besar.
Dato’ Awang Hashim (PN-Pendang) menyuarakan perkara itu dalam sesi perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
“Saya ingin terus menjurus kepada topik perbahasan iaitu mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
“Saya ingin menyuarakan beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian serius oleh pihak kerajaan dalam usaha menambah baik SSPA, terutama bagi penjawat awam gred rendah,” katanya.
Beliau menegaskan, penjawat awam gred rendah merupakan tulang belakang perkhidmatan awam, namun menghadapi masalah gaji dan elaun yang tidak mencukupi.
“Mereka bertanggungjawab melaksanakan pelbagai tugas penting dalam sektor kerajaan, namun apa yang sering kita dengar daripada mereka ialah gaji dan elaun yang tidak mencukupi untuk menampung kos hidup yang semakin tinggi,” ujarnya.
Awang turut menyatakan, kos hidup di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur semakin meningkat.
“Saya mendesak kerajaan untuk menyemak semula gaji permulaan bagi gred rendah, kerana kita tidak mahu melihat penjawat awam ini terpaksa bergelut untuk menampung keperluan asas.
“Tanpa tindakan segera, masalah ini hanya akan memburukkan lagi keadaan sosioekonomi mereka,” tegasnya.
Selain isu gaji, Awang juga membangkitkan isu beban kerja yang tidak seimbang selepas penjumudan gred 11 hingga 18.
“Kita sering dengar rungutan bahawa penjawat awam gred rendah terpaksa menanggung lebih banyak tugas selepas penjumudan gred tersebut.
“Walaupun tujuan penjumudan ini adalah untuk menyelaraskan tanggungjawab dan peluang kenaikan pangkat, namun realitinya mereka kini menghadapi beban kerja yang lebih berat tanpa sebarang peningkatan dalam ganjaran. Adakah ini adil?” katanya.
Beliau turut menyeru kerajaan untuk meneliti semula sistem penilaian prestasi penjawat awam.
“Sistem sedia ada masih tidak mencerminkan usaha sebenar penjawat awam.
“Ramai yang merasakan bahawa penilaian prestasi mereka adalah subjektif, menyebabkan ramai yang layak dinaikkan pangkat terpinggir.
“Saya mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan sistem penilaian prestasi yang lebih telus dengan indikator prestasi utama (KPI) yang lebih jelas,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 4/11/2024