KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan mengutamakan projek-projek kritikal dan memberi impak secara langsung kepada rakyat (people centric) bagi perancangan infrastruktur yang menjadi keutamaan di Kelantan.
Menteri Ekonomi berkata, Kerajaan Persekutuan akan menilai dan memberi keutamaan kepada setiap projek yang menjurus kepada keperluan rakyat yang mendesak di negeri itu.
Menurutnya, dalam merancang pembangunan dan pemilihan projek yang menjadi keutamaan kerajaan persekutuan, kriteria utama bagi pemilihan projek adalah yang melibatkan projek yang mampu meningkatkan ekonomi yang mampan dengan memberikan fokus kepada keperluan dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, pemilihan projek juga akan menumpukan kepada memperkasa ketersambungan infrastruktur pengangkutan dan penyediaan projek infrastruktur yang berimpak tinggi kepada sosial dan pertumbuhan ekonomi.
“Selain itu, ini juga akan meningkatkan hubungan antara komuniti dan mewujudkan peluang pekerjaan yang luas, menyumbang kepada pelaburan, merancakkan aktiviti perdagangan dan ekonomi di sepanjang jajaran seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan kemakmuran rakyat,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Abdul Latiff Abdul Rahman [PN-Kuala Krai] di Dewan Rakyat, hari ini.
Abdul Latiff dalam soalannya, meminta Menteri Ekonomi menyatakan bagaimana Kerajaan Persekutuan menentukan keutamaan projek- projek infrastruktur di Kelantan dan apakah kriteria yang digunakan dalam memilih projek yang perlu diberikan perhatian segera, sesuai dengan dasar pembangunan berteraskan keperluan rakyat. – HARAKAHDAILY 4/11/2024