KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil tindakan segera untuk mengutamakan pembinaan rancangan tebatan banjir (RTB) di kawasan yang kerap mengalami banjir, khususnya di Alor Setar.
Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) menyatakan bahawa projek RTB di Alor Setar masih belum siap sepenuhnya, dengan kadar kesiapan hanya 59 peratus di Sungai Anak Bukit, Sungai Kedah, walaupun sepatutnya siap pada bulan September.
Menurutnya, banjir yang melanda telah menyebabkan kerosakan di 44 kampung dan mengganggu kehidupan 2,181 keluarga, yang terpaksa berulang kali membersihkan rumah akibat banjir.
“Lima kali gelombang banjir dalam tempoh tiga minggu. Kesian kena cuci rumah pagi cuci rumah malam air masuk balik.
“Ini perkara-perkara yang perlu diambil tindakan segera saya rasa mungkin RTB di tempat lain itu boleh diletak dalam senarai yang bawah sikit diutamakan kawasan yang kerap banjir terutama macam Alor Setar yang telah pun terkena banjir baru ini.
“Juga 9,000 hektar kawasan sawah padi terjejas dan tenggelam akibat banjir, pesawah rugi, padi terjejas, ini semua menjejaskan keadaan kita.
“Dan saya sekali lagi ucap terima kasih kepada kerajaan Perdana Menteri turun kat Alor Setar dan juga ke tempat-tempat lain yang banjir,” ujar beliau.
Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Jejantas eskalator di Kompleks Pekan Rabu
Selain itu, beliau menyatakan bahawa jejantas eskalator di kompleks Pekan Rabu, Alor Setar, yang telah rosak lama, tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan daripada pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan), menyebabkan kos penyelenggaraan menjadi tinggi.
“Jadi kos selenggara tinggi saya mohon kerajaan pertimbangkan sedikit peruntukan tetap untuk penyelenggaraan eskalator kerana dia pemangkin kepada ekonomi peniaga-peniaga di Pekan Rabu,” katanya.
Status pelaksanaan Projek Jejak Warisan
Dalam pada itu, beliau juga meminta penjelasan kerajaan mengenai status pelaksanaan Projek Jejak Warisan yang telah dilaksanakan oleh Pelan Malaysia.
Beliau berterima kasih kerana dilibatkan dalam mesyuarat perbincangan tersebut di Alor Setar.
Inisiatif itu menurutnya penting untuk memelihara bandaraya Alor Setar sebagai Bandaraya Warisan yang tertua di dunia.
Penambahbaikan perkhidmatan KTM komuter
Beliau juga menyorot isu perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) komuter dan stesen KTM di Alor Setar, di mana gerabak kereta api yang penuh menyebabkan kesukaran bagi penumpang.
Beliau mencadangkan kerajaan menambah bilangan gerabak dan melakukan penambahbaikan, terutama pada tempat parkir yang terhad dan laluan yang sempit.
Di samping itu katanya, stesen KTM perlu dihubungkan dengan kemudahan pengangkutan awam lain untuk menyempurnakan perjalanan dari awal hingga akhir.
“Bila kerajaan umum nak naikkan ataupun nak tarik subsidi RON95 dan diesel yang telah pun ditarik, pilihan yang ada pada rakyat ialah public transport.
“Maka salah satu yang rakyat pilih ialah perkhidmatan kereta api tapi sebab gerabak terlalu penuh, saya cadang kerajaan kena tambah gerabak itu dan buat penambahbaikan.
“Tempat parking terhad, di Alor Setar misalnya ada dua tempat parking, satu saja yang buka, satu lagi tutup. Kenapa ditutup? Kenapa tak dibuka?
“Laluan mengambil menurunkan penumpang tak selesa, sempit keselamatan kenderaan di tapak parkir orang tak, orang parking di situ untuk pergi ke stesen, kadang-kadang motosikal hilang,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/11/2024